BTS Media

Erdogan batal lawatan ke Israel, anggap Hamas ‘pejuang pembebasan’

GAMBAR dilesenkan di bawah Wikimedia Commons

 

Oleh Yusoff A. Shariff

PRESIDEN Turki Recep Tayyip Erdogan hari ini berkata beliau membatalkan rancangan untuk melawat Israel kerana tindakan “tidak berperikemanusiaan” negara itu terhadap Hamas di Gaza.

Bagi Erdogan, Hamas bukan organisasi pengganas tetapi “pembebas”, yang berjuang untuk tanah air mereka.

Kenyataan beliau spontan mendapat kecaman dan mencetuskan kemarahan daripada kerajaan Israel, lapor AFP.

Erdogan yang pada mulanya mengambil pendirian berhati-hati selepas serangan pejuang Hamas pada 7 Oktober lalu, kini lebih lantang susulan serangan maut ke atas hospital Ahli Arab di Gaza minggu lalu, yang membawa kepada protes besar dan kemarahan di seluruh dunia Islam.

Hari ini beliau memberitahu parlimen Turki bahawa negara itu “tidak pernah menyokong kekejaman yang dilakukan oleh Israel.”

Melalui kenyataan di TV Erdogan berkata, sebelum ini beliau merancang untuk membuat lawatan ke Israel, tetapi ia telah dibatalkan.

Hubungan Ankara dengan Israel menjadi tegang berikutan serangan Israel ke atas kapal Turki membawa bantuan ke Gaza, yang membunuh 10 orang awam pada 2010.

Pertemuan Erdogan dengan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu semasa sidang kemuncak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York bulan lalu, menandakan peningkatan hubungan antara kedua-dua negara yang bermula dengan keputusan tahun lepas untuk melantik semula duta masing-masing.

Erdogan tidak menyatakan bila beliau akan melakukan lawatannya  ke Israel, di mana Ankara akan menyertai projek saluran paip gas asli yang dipromosikan oleh Amerika Syarikat.

Sokongan Erdogan mendapat reaksi pantas daripada Kementerian luar Israel yang menuduh perdana menteri Turki membela “pengganas.”

“Percubaan presiden Turki untuk mempertahankan organisasi pengganas dan kata-katanya yang menghasut tidak akan mengubah kengerian yang dilihat seluruh dunia,” kata Israel.

-BTS Media

Leave a Comment