BTS Media

Saudi, UAE antara negara sokong serangan Israel ke atas Gaza – Laporan

GAMBAR: Anadolu.

 

Oleh Yusoff A. Shariff

BEBERAPA negara Arab antara negara dan syarikat yang membantu serangan Israel di Semenanjung Gaza dengan menyediakan minyak dan bahan api sepanjang perang yang masih berterusan.

Menurut laporan oleh Oil Change International, yang menjejaki rantaian bekalan minyak mentah dan produk ditapis ke Israel, data baharu mendedahkan bahawa pembekal terbesar bahan api jet import kepada tentera Israel, ialah Amerika Syarikat.

Negara itu, dengan tiga kapal tangki membawa minyak jet JP8 dibekalkan kepada Tel Aviv sejak perang bermula, lapor Middle East Monitor.

Bahan api yang khusus dirumuskan untuk jet tentera itu adalah sebahagian daripada bantuan ketenteraan AS kepada pihak yang menceroboh dan memusnahkan Gaza.

Azerbaijan dan Kazakhstan adalah dua lagi negara yang baik dengan Israel dan menjadi pembekal sebahagian besar minyak mentah kepada negara itu sejak serangan Gaza bermula.

Import dari negara-negara tersebut juga melibatkan banyak syarikat pembekal minyak. Syarikat seperti BP, Chevron, Exxon, Shell dan Eni pula memiliki dan mengendalikan paip minyak yang digunakan untuk pengangkutan bahan itu.

Satu lagi sumber utama import minyak mentah Israel didatangkan melalui saluran paip Sumed, yang menerima kadar bahan api walaupun “sedikit tetapi konsisten” dari negara-negara Arab termasuk Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Iraq dan Mesir. Peliknya, semua negara berkenaan juga mengutuk tindakan ketenteraan Israel di Gaza.

Rusia adalah sebuah lagi negara yang memainkan peranan dalam membekalkan bahan api kepada Israel. Negara itu menyediakan aliran minyak gas vakum (VGO) stabil, yang biasanya dinaik taraf kepada petrol dan diesel untuk digunakan oleh kilang penapisan utama di Haifa, Israel.

Brazil juga tersenarai, dengan dua penghantaran minyak mentah bernilai 260,000 tan ke Israel sejak Disember. Minyak tersebut pada mulanya dibekalkan dari medan luar pesisir yang dimiliki bersama oleh syarikat Shell dan TotalEnergies, bersama Petrobras milik Brazil.

Data dan pendedahan ini menjelaskan lagi peranan beberapa negara dan syarikat transnasional yang membekalkan kepada Israel bahan api bagi meneruskan pengeboman dan pencerobohan ke atas Gaza.

Semua ini berlaku ketika aktivis dan kumpulan hak asasi manusia semakin mendesak negara-negara dan syarikat dunia supaya mengenakan sekatan tenaga ke atas Israel dengan menghentikan penghantaran bahan api bagi menamatkan serangan dan segala keganasan ke atas Gaza.

-BTS Media

Leave a Comment