GAMBAR: Anadolu.
Oleh Zainal AS Rashid
SEORANG penganalisis tentera Israel semalam berkata walaupun telah sebulan serangan berterusan Israel terhadap Semenanjung Gaza yang dikepung, kepimpinan Hamas terus mengekalkan penguasaan ke atas wilayah itu.
Penganalisis tentera dalam akhbar Haaretz Israel, Amos Harel, berkata tentera Israel menggunakan “taktik cantas”, di mana tentera bergerak perlahan mengikut strategi, dengan sokongan bedilan senjata besar, termasuk serangan dari udara.
Bagaimanapun, bertentangan dengan kenyataan tentera Israel itu, Harrel berkata salah satu kelemahan ketara ialah ketidakupayaan tentera Zionis untuk membunuh ramai pejuang Briged Al-Qassam dalam pertempuran darat, lapor Middle East Monitor.
Dia menjelaskan bahawa pegawai tentera Israel percaya laporan mengenai pembunuhan ratusan pejuang Hamas untuk “tidak dapat disahkan”.
“Antara kesukarannya termasuk dalam menentukan misi, kerana kerajaan dan tentera Israel bertekad untuk memusnahkan penguasaan Hamas dan melumpuhkan keupayaan ketenteraannya, namun ini adalah matlamat yang tidak jelas
Komander tentera Israel pasukan simpanan yang menyertai operasi sebelum ini di Gaza berkata asakan kali ini tidak dapat dibandingkan dengan skala pemusnahan teruk yang disaksikan sebelumnya.
Harel berkata, di Beit Hanoun yang terletak di timur laut Semenanjung Gaza, di mana pasukan simpanan Israel beroperasi, seluruh kawasan kejiranan tersebut dimusnahkan sepenuhnya semasa pertempuran.
Dia berkata, tentera Israel berada dalam keadaan perang yang sebenar, dan bukan hanya melaksanakan operasi terhad.
Menurut Harel, pertahanan Palestin bergantung kepada rangkaian terowong yang digunakan oleh pejuang Hamas untuk melancarkan serangan rambang menggunakan roket pemusnah kereta kebal, selain menaburkan alat letupan berhampiran kenderaan perisai Zionis.
“Hamas juga menggunakan kaedah serangan dron yang menyukarkan sistem pertahanan Zionis. Israel telah menghantar pasukan tentera yang besar ke bahagian utara Semenanjung Gaza dengan diiringi ratusan kereta perisai.
Taktik itu dikatakan membuka banyak sasaran untuk Hamas menyerang.
Pada 29 Oktober lalu, tentera Israel memulakan serangan darat di Gaza, dan sejak itu sekurang-kurangnya 29 tentera telah terbunuh dan kira-kira 260 cedera, menurut angka rasmi Israel.
Setakat ini serangan dahsyat tentera Israel ke atas Gaza telah membunuh sekurang-kurangnya 9,770 rakyat Palestin, termasuk 4,800 kanak-kanak , 2,550 wanita, dan mencederakan lebih 24,000 orang.
Di Tebing Barat pula, seramai 151 penduduk Palestin terbunuh sejak 7 Oktober dan 2,080 ditangkap.
-BTS Media