BTS Media

Seorang kanak-kanak maut setiap 15 minit dalam serangan udara Israel ke atas Gaza

GAMBAR: Save the Children/Wikimedia Commons.

 

Oleh Yusoff A. Shariff

PERTUBUHAN Save the Children (Selamatkan kanak-Kanak) pada hari Selasa menuntut “gencatan senjata segera,” bagi menangani tragedi kemanusiaan yang dahsyat di Semenanjung Gaza dan memberi amaran bahawa bilangan mangsa akan melonjak apabila bekalan air kehabisan di wilayah itu.

“Lebih 1,000 kanak-kanak dilaporkan terbunuh dalam 11 hari serangan udara dahsyat ke atas Gaza, iaitu kira-kira seorang kanak-kanak setiap 15 minit, justeru menjadikan kanak-kanak satu pertiga daripada jumlah kematian di Gaza,” kata badan amal yang berpangkalan di United Kingdom itu dalam satu kenyataan.

Mengenai tragedi kemanusiaan yang amat dahsyat di Gaza yang di kepung sepenuhnya oleh tentera Israel, badan itu merujuk kepada amaran pada hari Isnin daripada Agensi Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) mengenai krisis bekalan air di wilayah tersebut.

“Seluruh penduduk, terutamanya kanak-kanak kecil, tidak lama lagi akan mula mati akibat dehidrasi,” kata UNRWA.

“Air semakin kehabisan dan masa semakin suntuk untuk (menyelamatkan) kanak-kanak Gaza,” kata Jason Lee, pengarah pejabat Save the Children Palestine.

“Tanpa penyelesaian, tanpa gencatan senjata, beribu-ribu nyawa kanak-kanak terancam.”

Mengenai laporan bahawa kerajaan Israel telah menyambung semula bekalan air pada hari Ahad ke selatan Gaza, NGO itu, bagaimanapun, berkata pam air yang bergantung pada kuasa elektrik tidak berfungsi selama empat hari di Semenanjung Gaza.

“Pagi ini, PBB memberi amaran bahawa semua hospital di Gaza hanya mempunyai bekalan bahan api untuk kira-kira 48 jam. Ini mendedahkan ribuan pesakit, termasuk kanak-kanak kepada risiko meruncing,” tambahnya.

Save the Children Calls for a Ceasefire in Gaza _ Save the Children

-BTS Media

Leave a Comment