SEORANG anggota polis bantuan berusia 32 tahun ditahan kerana didakwa merompak sebuah kedai barang kemas di sebuah pusat membeli-belah di Kota Damansara, Selangor.
Menurut laporan FMT, suspek yang tidak bertugas ketika itu memasuki kedai sekitar pukul 5 petang pada hari Sabtu dengan memakai topeng serrta tutup kepala dan mengacukan pistol ke arah pekerja kedai.
Dalam satu sidang media, Ketua Polis Selangor Hussein Omar berkata, semasa rompakan itu tiga pekerja dan seorang pelanggan berada di dalam kedai.Suspek mengambil tujuh dulang barang kemas.
Suspek menjadi polis bantuan selama lapan tahun dan menggunakan kata laluan yang diketahui untuk mengakses senjata api dari tempat kerjanya.
Menurut Hussein, suspek mengambil pistol sebelum melakukan jenayah tersebut, dan memulangkannya selepas itu, sebelum pulang ke rumah untuk menukar pakaian dan melaporkan untuk bertugas.
Dia ditahan berhampiran rumahnya di Bukit Beruntung sebelum memulakan kerja, dan barang kemas yang dicuri ditemui dalam kereta Proton Persona miliknya.
Suspek dikatakan berdepan dengan masalah kewangan, termasuk hutang hampir RM20,000 sebagai motifnya untuk merompak.
Hussein berkata keluarga suspek tinggal di Kelantan dan penyiasat mengesyaki dia merancang untuk melarikan diri ke sana sebelum ditahan.
Suspek direman selama tujuh hari sehingga 29 Mac bagi membantu siasatan.
-BTS Media