BTS Media

Polis Vietnam siasat Chagee berhubung peta Laut China Selatan yang dipertikai

PIHAK berkuasa Vietnam telah melancarkan siasatan terhadap jenama teh susu Cina, Chagee, selepas peta di laman webnya didapati menggambarkan “garis sembilan sempang” (Nine-Dash Line) Beijing yang kontroversi di Laut China Selatan.

Garis itu, yang digunakan oleh China untuk menguasai kawasan Laut China Selatan, telah lama menjadi sumber ketegangan antara Beijing dan Hanoi.

Polis di Ho Chi Minh City, pusat komersial Vietnam, sedang bekerjasama dengan Jabatan Kebudayaan dan Sukan bandaraya untuk menjelaskan perkara itu.

Kenyataan rasmi yang dikeluarkan lewat hari Khamis menggesa “individu dan organisasi supaya menggunakan peta rasmi, agar tidak disalahguna dengan maklumat yang diputarbelitkan mengenai kedaulatan pulau milik negara.”

Selepas kontroversi itu meletus, dan siasatan dimulakan, semua logo dan papan tanda Chagee diturunkan dari cawangan besar syarikat tersebut yang bakal dibuka di Ho Chi Minh City pada malam hari Isnin.

Kejadian ini adalah yang terbaharu dalam siri pertikaian melibatkan garis sembilan sempang (Nine-Dash Line), berikutan pengharaman filem Hollywood “Barbie” dan penyingkiran anak patung “Baby Three” buatan China dari kedai.

Laut China Selatan yang merupakan laluan perkapalan antarabangsa penting dan mengandungi rizab minyak dan gas berharga, menjadi titik tumpuan pertikaian wilayah serantau.

Vietnam, bersama beberapa negara Asia Tenggara lain, secara konsisten mencabar tuntutan luas China di kawasan itu.

–BTS Media

Leave a Comment