BTS Media

Ditinggalkan hingga ke penghujung hayat sendirian

PINTU kereta dibuka, dan seorang warga emas melangkah keluar dengan wajah bingung dan teragak-agak.

Ini adalah senario yang sering dilihat oleh Mohamad Tarudi Bahari, pengurus Pondok Al-Jaafar Gua Tempurung, sebuah pusat perlindungan warga tua di Gopeng, Perak.

Dia sering melihat mereka menghantar ibu bapa mereka ke pondok itu dengan alasan hanya untuk sementara.

Dalam secebis kisah yang dilaporkan oleh The Star, Mohamad Tarudi berkata anak-anak sering berjanji kepada ibu bapa mereka bahawa ia “hanya untuk beberapa minggu sahaja.”

Namun, dengan pantas mereka memandu pergi, meninggalkan hanya beg pakaian dan sebuah hati yang hancur.

Keadaan ini telah menjadi terlalu biasa di pusat perlindungan yang beroperasi sejak tahun 2016 dan menempatkan 165 penghuni pelbagai kaum, termasuk 15 warga emas berusia 60 tahun ke atas.

Mohamad Tarudi berkata kira-kira 80% warga emas di pusat perlindungan itu ditinggalkan oleh keluarga mereka.

Secara purata, sepuluh individu ditinggalkan di pondok tersebut setiap tahun apabila anak-anak merasakan penjagaan mereka terlalu membebankan.

Ada antara mereka tiba selepas ditemui di perhentian bas atau tepi jalan raya oleh orang awam.

Beliau menceritakan kes baru-baru ini di mana seorang pemandu teksi membawa seorang wanita berusia 65 tahun dari Gombak, Kuala Lumpur, selepas menemuinya tinggal di bawah jambatan selama lebih setahun akibat rumahnya dijual oleh anak-anak sendiri.

Walaupun menyaksikan keadaan menyayat hati ini berulang kali, Mohamad Tarudi menekankan kesan emosi yang mendalam pada ibu bapa yang ditinggalkan.

Kebanyakan daripada warga tua ini merasa kekurangan kasih sayang dan sekadar mengharapkan sedikit perhatian daripada anak-anak, walaupun memahami kesibukan hidup mereka.

Malangnya, kebanyakan daripada mereka terus kekal di pusat perlindungan sehingga akhir hayat, kerana keluarga mereka tidak dapat dikesan.

Penghuni baharu biasanya menghabiskan minggu-minggu duduk diam merenung dinding sebelum menangis, kerana berasa amat terhimpit oleh perasaan ditinggalkan akibat penyakit serius atau wang simpanan dihabiskan oleh anak-anak mereka sendiri.

Pusat perlindungan itu berusaha keras untuk memberikan keselesaan dan membantu mereka mengatasi kesedihan walaupun bergantung kepada sumbangan orang awam.

Satu cabaran besar yang dihadapi oleh pusat perlindungan tersebut adalah mencari waris apabila penghuni jatuh sakit atau meninggal dunia.

Sering kali, hospital perlu campur tangan untuk memberikan panduan kerana maklumat hubungan yang diberikan oleh keluarga sering palsu.

Mohamad Tarudi selalu berdepan dengan kesukaran untuk menjejaki anak-anak untuk memaklumkan tentang tanggungjawab mereka dalam membantu menguruskan ibu bapa mereka yang telah meninggal dunia.

Bagaimana pun, mereka tidak dapat dikesan atau dihubungi, kerana nombor telefon dan alamat yang diberikan palsu belaka.

-BTS Media

Leave a Comment