BTS Media

Dentuman meriam batang kelapa menerjah hingga ke tiga kampung…

GAMBAR ATAS: Marwan Mohamad, CC BY-SA 4.0 <https://creativecommons.org/licenses/by-sa/4.0>, via Wikimedia Commons.

 

Oleh Ahmad Abd Hamid

DUA tiga hari sebelum Aidilfitri menjelang, dentuman meriam dan mercun sudah mula kedengaran memecah kesunyian malam di kampung penulis, Kampung Tebuk Mukmin, Bagan Datuk, Perak. Juga di kampung berhampiran, seperti kampung Parit Serong, Sungai Batang dan Sungai Haji Mohamad.

Di kampung penulis, budak-budak buat macam-macam jenis meriam. Ada meriam buluh, meriam tanah, meriam batang pinang dan meriam batang kelapa.

Pendek kata bermain mercun dan meriam lebih awal adalah sebagai ‘bunga-bunga’ kemeriahan menanti hari raya yang bakal menjelma. Semuanya sudah tidak sabar hendak menunggu ketibaan hari bahagia itu sambil menguji kekuatan bunyi dentuman meriam masing-masing.

Penulis dan abang hanya membuat meriam buluh. Bunyinya tidak kuat, tetapi itulah meriam yang paling mudah dibuat. Cari dan terus tebang buluh yang sudah cukup tua. Sebatang yang panjang sudah cukup.

Buluh ini boleh dipotong menjadi beberapa keratan dengan panjang setiap satu lebih kurang dalam ukuran empat kaki (1.2 meter). Setelah itu ambil kayu dan tujah ruas-ruas dalam buluh yang sudah dipotong.

Tetapi, pastikan ruas yang paling bawah tidak ditujah. Di sinilah tempat karbaid yang merupakan bahan bakar meriam. Pada sebelah luar buluh berhampiran ruas paling bawah ini dibuat lubang kecil.

Untuk mencucuh meriam, masukkan karbaid dari atas buluh melalui ruas yang sudah ditujah.  Kemudian masukkan air, jangan terlalu banyak. Apabila karbaid sudah mengeluarkan wap, cucuh lubang yang sudah dibuat di bawah tadi. Berbunyilah meriam tetapi tidaklah kuat sangat.

Meriam tanah pula dibuat dengan mengorek tanah pada ukuran sepanjang mana meriam hendak dibuat. Ada yang panjang ada yang sederhana panjang. Tanah dikorek dalam bentuk besar di atas (kepala) meruncing ke bawah.

Sesudah dikorek hingga kedalaman tertentu, pada lubang ini diletakkan papan tebal. Pada bahagian kepala papan dibuat lubang. Papan ini diperkuat dengan cabang pokok yang ditanam pada tanah sebagai penahan papan agar tidak mudah tercabut apabila meriam dipasang.

Selepas itu seluruh bahagian papan ini ditimbuni dengan tanah, kecuali lubang kepala meriam. Tanah ini dipijak-pijak untuk memastikan ia cukup padat dan kuat.

Meriam ini juga menggunakan karbaid. Untuk itu dibuat sebuah bekas karbaid daripada tong kecil dengan pemegang kayu panjang. Untuk memasang meriam, karbaid dituang air siap-siap dan disumbat ken dalam tanah yang digali, dan kemudian dicucuh melalui lubang yang siap dibuat.

Selepas sekali pasang, bekas karbaid perlu ditarik keluar untuk ditambah karbaid dan air sebelum dimasukkan semula. Meriam tanah lebih kuat bunyinya daripada meriam buluh.

Membuat meriam batang pinang agak mencabar. Seeloknya menggunakan batang pinang yang dikorek dengan akar. Ini kerana perdunya kelak akan menjadi tempat karbaid. Berhampiran perdu inilah juga dibuat lubang untuk mencucuh meriam.

Batang pinang terlebih dahulu dibelah dua dan dikeluarkan isinya, tinggal hanya kulit. Kulit ini dicantum semula dan diikat kuat atau disimpai dengan rotan bagi memastikan ia tahan dan wap karbaid tidak keluar dari mana-mana celah.

Meriam Batang Pinang/ Gambar: Arkib.

Untuk mencucuh meriam, perlu disediakan bekas karbaid seperti meriam tanah. Bagaimana pun, pemegangnya dibuat lebih panjang kerana batang pinang itu panjang. Karbaid perlu sampai ke perdu. Selepas itu cucuhlah meriam melalui lubang yang siap dibuat. Memang kuat bunyi meriam ini.

Namun bunyinya tidaklah sekuat meriam batang kelapa. Proses membuat meriam batang kelapa hampir sama seperti meriam batang pinang. Tapi kerjanya lebih rumit kerana batang kelapa lebih besar dan isinya lebih keras dan liat untuk dikopek.

Simpai yang digunakan untuk meriam ini juga lebih kuat dan lebih banyak, sejajar dengan kekuatan bunyinya. Kaedah memasukkan karbaid juga seperti meriam batang pinang. Kekuatan bunyi meriam batang kelapa boleh menerjah dan kedengaran hingga ke tiga kampung lain.

Meriam Batang Kelapa.

Ada kalanya ia bersahutan pula dengan bunyi meriam dari kampung lain. Bagai berlawan-lawan pula. Tetapi itulah keseronokan yang dirasai penduduk kampung dalam semangat kejiranan.

Ada kalanya apabila dicucuh, meriam tidak berbunyi. Seelok-eloknya tarik karbaid dan tambah yang baharu. Jangan sekali-kali cuba menjenguk melalui lubang kerana berbahaya. Ada kawan penulis tercedera mukanya kerana mengintai ke dalam lubang akibat percikan wap karbaid.

Sayang sekali tradisi membuat dan bermain meriam sudah tidak banyak disaksikan di kampung sekarang. Ia seolah-olah pupus, termasuk di kampung penulis yang suatu ketika dahulu memang terkenal dengan pelbagai jenis meriam.

Barangkali itulah kesan peredaran zaman. Penduduk kampung yang ketika penulis bersekolah masih muda, ramai yang sudah pergi menemui Ilahi. Anak-anak yang merantau pula ramai sudah tidak kembali lantaran orang tua tiada lagi.

Yang tinggal hanya memori indah yang tidak akan dilupakan. Benarlah, masa merubah banyak perkara. Namun ingatan di dalam hati tidak akan mudah terpadam. Ia berlegar sebagai kenangan manis ketika usia remaja.

-BTS Media

Leave a Comment