GAMBAR ATAS: Kredit Datuk Mohammad Nor bin Mohammad Khalid
Oleh Ahmad Abd Hamid
“JANGAN liat bangun sahur nanti,” pesan emak sebelum penulis tidur malam itu. Esok puasa bermula. Mungkin emak ingat tahun-tahun sebelumnya penulis memang payah bangun sahur, beberapa kali cuba digerak masih tersadai atas tilam kekabu nipis.
Bila emak usap air ke muka, barulah bingkas bangun. Maknanya emak sudah mula naik angin. Kalau terus tidur, alamat seludang kelapa singgah kat badan. Seludang kelapa kering ini memang sentiasa ada di dapur kerana ia adalah bahan bakar untuk memasak, selain tempurung kelapa, sabut dan pelepah kelapa kering.
Seludang emak bukan boleh hinggap ke badan kerana liat bangun sahur tetapi kenakalan lain juga. Di kampung pedalaman tersorok Tebuk Mukmin, Bagan Datuk, Perak, tidak banyak aktiviti. Jadi memanjat pokok jambu atau mempelam, berkubang dalam parit, bermain getah dan guli adalah rutin biasa.

Kalau balik lewat dan pakaian kotor, memang ada harapan kena seludang emak. Tetapi sekadar pukulan manja tanda amaran. Namun terasa juga sakitnya pada kulit. Tanggung sahajalah.
Apabila Ramadan menjelma maka teringat kembali kenangan penulis ketika kanak-kanak dan masih bersekolah rendah. Pada tahun 60-an, penentuan awal Ramadan tidak semudah sekarang. Sekarang sudah boleh dijangka dengan tepat. Jika tidak nampak anak bulan, rukyah digunakan.
Dahulu sampai malam masih menanti kerana menunggu nampak anak bulan kelihatan. Di kala menanti kecoh juga dibuatnya. Bagi keluarga penulis, pengumuman tarikh mula puasa hanya diperoleh daripada jiran-jiran yang ada radio. Keluarga penulis tidak ada radio ketika itu.

Selalunya pihak surau juga memukul kentung atau ketuk-ketuk sebagai pemakluman khas mula berpuasa. Penduduk kampung faham makna ketukan tersebut. Surau ini terletak di kampung sebelah, Kampung Parit Serong. Tetapi bunyinya jelas meredah angin malam.
Bermulalah sahur pertama. Selalunya penulis adalah yang terakhir bangun menghadap hidangan. Masakan emak simple sahaja, nasi dan sedikit lauk. Selalunya sahur awal, sebelum pukul lima pagi. Kata emak, biar cepat jangan terlewat. Jam tua menjadi panduan, bukan menggunakan bateri tetapi dikunci.
Satu lagi penanda aras tamat waktu sahur ialah apabila kentung di surau berbunyi, menandakan waktu subuh sudah masuk. Maka janganlah cuba menjamah makanan atau minuman lagi.
Kampung penulis tidak ramai penduduk, ada dalam empat lima buah rumah sahaja. Kampung jauh dari pekan dan tidak ada kemudahan asas. Mandi hanya air sumur, cahaya daripada lampu minyak tanah dan air minuman daripada air hujan dimasak.
Namun hubungan jiran-jiran sangat rapat dan mesra, seperti saudara sendiri. Waktu berbuka saling bertukar juadah. Penulis selalunya menjadi tukang hantar juadah emak. Setiap hari kuih berlainan, ada ketayap, bingka, lempeng dan pengat. Ada kala emak beri lauk. Juadah daripada jiran juga macam-macam.
Waktu berbuka, keluarga penulis terus makan nasi, kuih kemudian. Lauknya ala kadar, ikan dan sayur yang dipetik dari sekeliling rumah. Masa itu ikan temenung (kembung) sekati (600 gram) hanya 25 sen. Kerang sekati lima sen.
Minuman hanya teh O panas. Keluarga penulis hanya guna teh Ceylon dalam bungkusan. Kalau hendak minum sejuk, kena tempah air batu dari aruah Jaafar, penduduk kampung yang menjual ais batu setiap bulan puasa. Bolehlah buat air sirap atau teh O ais. Tempahan ais perlu sehari lebih awal. Ais batu tidak dijual di kedai kerana tidak ada bekalan elektrik.

Jaafar mendapat bekalan dari Teluk Intan, dihantar dengan lori dalam pukul 10 pagi. Dia perlu menunggu di tepi jalan utama Teluk Intan (Teluk Anson) – Bagan Datuk di Sungai Haji Mohamad. Bungkah ais batu disimpan di surau bersalut dengan sekam papan gergaji dan guni berlapis agar tidak cair.
Dalam pukul 5.30 atau enam petang, yang telah membuat tempahan boleh datang mengambil ais. Ais dipotong menggunakan gergaji dengan saiz ikut tempahan, ada yang tempah 10 sen atau 20 sen. Ketulnya besar juga, dibungkus dengan surat khabar dan disalut sekam papan. Perlu cepat bawa balik, jika tidak cair di tengah jalan.
Penulis ingat, waktu itu jika hendak makan kurma kena beli kurma timbang. Tidak ada pelbagai jenama kurma kotak seperti sekarang.
Sebaliknya kurma datang dalam guni. Kualitinya tidaklah bagus, tetapi bolehlah makan. Katanya diimport dari India, penulis pun tidak pasti.
Lepas solat maghrib, ayah bersiap ke surau di Parit Serong. Surau inilah tempat penduduk berkumpul untuk menunaikan solat fardu dan tarawih. Biasanya penulis ikut ayah sambil membawa kuih dibekalkan oleh emak untuk moreh. Malam diredah dengan cahaya terang obor daun kelapa kering.
Kerap kali penulis tertidur sewaktu jemaah bertarawih. Sedar-sedar jemaah sudah mula hendak makan juadah moreh yang dibawa dari rumah masing-masing. Dalam keadaan mengantuk, jamah juga makanan yang ada. Lepas itu terus balik.
Sampai ke rumah penulis selalunya terus terlena. Tambahan jika esok hari bersekolah. Kena tidur awal elak mengantuk. Kerana emak selalu siapkan sahur awal, sempatlah lena balik selepas sahur. Esok pagi ketika ayah keluar bekerja di kebun kelapa, penulis pula melangkah kaki ke sekolah.

Kampung Tebuk Mukmin kini tidak berpenghuni. Yang ada hanya kebun kelapa sawit yang mengambil alih kebun kelapa. Pokok-pokok kelapa tinggi melambai pada zaman penulis habis ditebang. Kelapa sawit menjadi ganti kerana harganya lebih tinggi dan menguntungkan.
Penduduk berpindah ke tempat lain meninggalkan kampung pedalaman yang sunyi, termasuk keluarga penulis yang berpindah ke tepi jalan utama Teluk Intan-Bagan Datuk di Sungai Haji Mohamad.
Sekali pun sudah berpindah, hubungan kejiranan tetap tidak terungkai. Masih saling kunjung mengunjungi, terutama pada Hari Raya Adilfitri. Inilah masa untuk bercerita kembali kisah-kisah lama sewaktu bersama di desa tercinta.
Ayah dan emak penulis sudah lama pergi menemui Ilahi. Begitu juga jiran-jiran seangkatan ayah dan emak. Namun silaturahim masih diteruskan dengan anak-anak mereka yang kebanyakannya sudah bercucu. Benarlah, kasih sayang yang berpaut erat tidak mudah terhakis. Segala kenangan mengusik jiwa akan tetap tersimpul di dalam hati.
-BTS Media