CRISTIANO Ronaldo menandatangani kontrak paling lumayan dalam sejarah sukan dengan perjanjian baharu bernilai £492 juta (RM2.86 bilion) untuk tempoh dua tahun bersama Al-Nassr.
Legenda Portugal yang berusia 40 tahun itu akan kekal bersama kelab tersebut untuk dua tahun lagi, dengan gaji asas mencecah £488,000 (RM2.83 juta) sehari.
Bekas bintang Manchester United itu juga ditawarkan pelbagai kemewahan lain untuk menjadi duta bagi kelab Arab Saudi tersebut, dan pendapatannya boleh mencecah sehingga RM3 bilion untuk dua tahun akan datang.
Selain gaji tahunan sebanyak £178 juta (RM1.03 bilion), Ronaldo juga akan dibayar £24.5 juta (RM142.26 juta) sebagai bonus menandatangani kontrak – jumlah yang boleh meningkat kepada £38 juta (RM220.64 juta) sekiranya dia memasuki tahun kedua kontraknya.
Di samping itu, dia turut ditawarkan pegangan saham kelab berkenaan sebanyak 15 peratus, yang dianggarkan bernilai £33 juta (RM191.54 juta).
Dengan bonus £4 juta (RM23.22 juta) untuk memenangi But Emas dan £8 juta (RM46.44 juta) sekiranya Al-Nassr memenangi gelaran, Ronaldo berupaya mengumpul lebih RM3 bilion sebaik kontraknya tamat.
Dengan status yang dijulang pendapatan sebegitu, di luar padang, Ronaldo dan keluarganya akan dijaga seperti orang kenamaan.
Dia akan mempunyai 16 pembantu sepenuh masa — tiga pemandu, empat pembantu rumah, dua tukang masak, tiga tukang kebun, dan empat pengawal keselamatan.
Semua perbelanjaan ini, yang dianggarkan sekitar £1.4 juta (RM8.12 juta), ditanggung sepenuhnya oleh Al-Nassr.
Selain itu, kos penggunaan jet peribadi bernilai £4 juta (RM23.22 juta) juga dilaporkan ditanggung oleh Al-Nassr, serta perjanjian penajaan oleh syarikat-syarikat Arab Saudi yang berupaya mencecah £60 juta (RM348.28 juta).
-BTS Media