Oleh Fetty Rara
WALAUPUN tewas dalam pilihan raya kecil DUN Pelangai semalam, trend perubahan undi Melayu di kawasan Felda memihak kepada Perikatan Nasional(PN).
Pengerusi PN Pahang Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata PN memperoleh kemenangan di dua daripada tiga pusat pengundian daerah (PDM) yang terletak di kawasan Felda.
“PN menang di Felda Kemasul dengan majoriti 295 dan Felda Sungai Kemahal dengan majoriti lima undi tetapi tewas di Felda Chemomoi dengan 182 undi.
PN memperoleh 3,038 undi di ketiga-tiga PDM Felda berbanding Barisan Nasional yang memperoleh 2,920 undi.
“PN telah memenangi undi Felda dan sokongan pengundi Melayu terhadap PN meningkat. Ini sekali lagi membuktikan bahawa rancangan Felda bukan lagi kubu BN atau Umno,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Saifuddin berkata PN mengekalkan sokongan pengundi muda di Pelangai dan ini membuktikan gabungan itu berpotensi menggantikan Umno-BN yang banyak bergantung kepada sokongan DAP-Pakatan Harapan.
Sementara itu, Saifuddin berkata walaupun jumlah keluar mengundi di Pelangai semalam adalah 72.1 peratus iaitu kira-kira enam peratus lebih rendah berbanding pilihan raya umum ke-15 (Pelangai merekodkan 28 peratus) tetapi angka itu agak tinggi berbanding peratusan keluar mengundi pada pilihan raya lain.
“Pengundi telah keluar untuk melaksanakan hak mereka dan kami pastinya menghargai komitmen mereka,” katanya.
Pada PRK semalam, BN mengekalkan kerusi DUN itu menerusi Amizar Abu Adam yang menang dengan majoriti 2,949.
Kasim Samat dari PN memperoleh 4,375 undi, dan calon bebas Haslihelmy DM Zulhasni mendapat 47 undi.
-BTS Media