GAMBAR: VNeXPRESS
JABATAN Pelancongan Hanoi di Vietnam telah mengeluarkan arahan melarang agensi pelancongan membawa pelancong ke satu presint landasan kereta api popular di bandar raya.
Larangan ke presint “New Train Street” di Cua Nam, Hang Bong, dan Cua Dong itu dikeluarkan demi keselamatan.
Agensi Berita Vietnam (VNA) melaporkan bahawa arahan itu turut mewajibkan agensi pelancongan menerapkan kesedaran tentang risiko kemalangan di lokasi, di mana beberapa kafe menjadi antara tarikan pelancongan.
Presint “New Train Street” merupakan sebahagian daripada laluan keretapi sepanjang kira-kira dua kilometer, yang menghubungkan jalan Le Duan, Tran Phu, Cua Dong, dan Phung Hung.
Kawasan sepanjang 300 meter antara Tran Phu dan Phung Hung, menjadi tarikan pengunjung, terutamanya pada hujung minggu.
Kafe yang terletak betul-betul di tepi landasan, membolehkan pelanggan memerhatikan kereta api melintas dari jarak dekat. Walau bagaimanapun, keadaan ini juga mewujudkan persekitaran yang berbahaya.
Jawatankuasa Rakyat daerah Hoan Kiem sebelum ini telah berulang kali menggesa pihak berkuasa supaya bertindak terhadap perniagaan yang beroperasi di dalam koridor keselamatan kereta api tersebut.
Namun, walaupun berbahaya, penduduk tempatan dan pelancong terus tegar berkumpul di sepanjang koridor tersebut, malahan juga di atas kereta api.
-BTS Media