BTS Media

Sembunyi 12 pasport di pinggang: JIM siasat, tukar pegawai terlibat

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) mengesahkan laporan Malaysiakini berhubung penemuan 12 keping pasport asing yang ditemukan pada badan seorang pegawai imigresen di Pejabat Operasi Terminal 2 KLIA pada 1 Jan lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Zakaria Shaaban turut mengesahkan satu laporan polis telah dibuat pada 7 Jan lalu dan kes itu diklasifikasikan sebagai tindakan jabatan.

“Satu kertas siasatan integriti telah dibuka dan pihak pengurusan JIM KLIA telah mengambil tindakan awal dengan menukarkan pegawai terbabit ke Depot Imigresen KLIA sementara siasatan integriti dilaksanakan.

“Bagaimanapun pegawai terbabit tidak hadir melaporkan diri ke tempat bertugas yang baru sehingga kini.

“Proses siasatan integriti masih dilaksanakan oleh Bahagian Integriti JIM KLIA,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Malaysiakini melaporkan seorang pegawai imigresen membuat laporan polis selepas mendapati rakan setugasnya menyimpan 12 pasport asing di pinggang seluar ketika tertidur di tempat kerja.

“Saya bertindak mengejutkan pegawai itu dan melakukan pemeriksaan awal.

“Hasil pemeriksaan, saya dapati terdapat 12 pasport pelbagai negara diselitkan di bahagian pinggang seluar pegawai itu.

“Saya kemudian mengambil pasport tersebut dan lapor perkara ini kepada Ketua Imigresen Terminal 2,” katanya dalam laporan polis tersebut.

Mengulas lanjut, Zakaria menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana pegawai yang melakukan pelanggaran integriti serta mencemarkan imej jabatan itu.

“Tindakan dan hukuman akan diambil berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada, termasuk tindakan buang kerja jika pegawai terbukti bersalah,” tegasnya.

Dia turut menggesa orang awam melaporkan sebarang salah laku pegawai imigresen menerusi talian 03-880 1246, e-mel aduanintegriti@imi.gov.my, atau hadir sendiri ke Bahagian Integriti, Ibu Pejabat JIM, Putrajaya.

Baca lagi: https://www.malaysiakini.com/news/735118

Leave a Comment