AHLI Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim kecewa melihat pencapaian indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia bagi tahun 2024 tidak positif.
Beliau menyalahkan kes rasuah yang melibatkan pelbagai agensi kerajaan pada tahun lalu.
Hassan berkata kegagalan untuk menambah baik kedudukan dan skor CPI Malaysia, dalam laporan tahunan oleh Transparency International (TI), mengecewakan memandangkan usaha memerangi rasuah adalah antara agenda utama yang dilaungkan kerajaan perpaduan, di samping pembasmian kemiskinan.
“Rasuah masih berleluasa. Ambil contoh, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menangkap beberapa pegawai jabatan kastam,” kata ahli parlimen PKR yang lantang itu kepada FMT.
Beliau turut merujuk kepada kes rasuah melibatkan kakitangan di Jabatan Imigresen, khususnya berkaitan pemerdagangan manusia dan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Polis juga tidak terlepas daripada dakwaan rasuah ini. Bukan rahsia lagi bahawa imejnya telah dicemari oleh rasuah.”
Sejumlah pegawai Jabatan Kastam, Jabatan Imigresen, JPJ dan Polis telah didakwa pada 2024 atas tuduhan rasuah.
Juga, beberapa terdapat kes besar melibatkan sindiket pemerdagangan manusia dan penyeludupan, membabitkan pegawai kastam dan imigresen.
Tahun 2024 menyaksikan Malaysia mencatat 50 mata dan menduduki tempat ke-57, iaitu kedudukan sama yang dicapai pada tahun sebelumnya.
CPI menggunakan skala 0 (dianggap sangat teruk) hingga 100 (dianggap sangat bersih).
Malaysia memperoleh 50 mata pada tahun 2023, 47 pada tahun 2022, 48 pada tahun 2021 dan 51 pada tahun 2020.
Putrajaya telah menyasarkan untuk negara ini menjadi antara 25 negara teratas dalam CPI menjelang tahun 2033.
Transparency International Malaysia (TI-M) mengaitkan kedudukan dan markah yang tidak positif itu berpunca daripada beberapa faktor, termasuk reformasi institusi yang perlahan oleh kerajaan dan kes berprofil tinggi di mana tertuduh dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA).
DNAA, semakan hukuman penjara dan denda untuk sabitan oleh mahkamah tertinggi mewujudkan persepsi campur tangan politik, kata kumpulan antirasuah itu.
Hassan bersetuju, dan berkata pengurangan separuh hukuman penjara 12 tahun Najib Razak dan pengurangan denda RM210 juta kepada RM50 juta dalam kes SRC International tidak menunjukkan contoh yang baik apabila bekas perdana menteri itu telah pun disabitkan dengan rasuah.
“Apakah isyarat yang dihantar kepada penjawat awam dan pemimpin korporat?” beliau bertanya.
Ahli Parlimen dua penggal itu juga mengkritik keputusan peguam negara untuk menghentikan pendakwaan dalam kes berprofil tinggi, termasuk 47 pertuduhan rasuah terhadap timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi walaupun ada kes prima facie.
Beliau menegaskan bahawa pembebasan Zahid dalam satu lagi kes membabitkan 40 pertuduhan turut dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan selepas pihak pendakwaan menarik balik rayuannya.
Bagi Hassan keputusan itu semua telah merosakkan persepsi terhadap sistem perundangan dan kehakiman Malaysia. “Itulah sebabnya skor indeks rasuah Malaysia tidak berubah.”
-BTS Media