POLIS menahan seorang wanita kerana didakwa memukul dan menyebabkan kecederaan anaknya di hadapan sebuah pasar raya di Jejawi, Arau, semalam.
Suspek, seorang pekerja kantin berusia 37 tahun, ditahan di Mata Ayer selepas rakaman CCTV pasar raya yang merakam kejadian itu tular di media sosial malam tadi, lapor Harian Metro.
Rakaman menunjukkan suspek memukul kepala kanak-kanak itu beberapa kali menyebabkan kanak-kanak itu terjatuh dan terhantuk di tepi bangku.
Ketua Polis Daerah Arau Ahmad Mohsin berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 12.16 tengah hari.
Menurut beliau, kanak-kanak perempuan berusia empat tahun itu mengalami luka di kening kanan dan telah diberikan rawatan.
Dalam satu kenyataan, Ahmad Mohsin berkata suspek kini direman selama enam hari bermula hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 dan penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Seorang pegawai jabatan pembangunan kanak-kanak dilaporkan telah menghubungi bahagian siasatan kanak-kanak Bukit Aman semalam mengenai kejadian itu.
-BTS Media