PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan Pulau Pinang, jabatan dan agensi berkaitan menyiasat dan mengambil tindakan segera berhubung kematian pokok bakau di Kuala Sungai Pinang, Balik Pulau.
Presiden CAP Mohideen Abdul Kader berkata tinjauan yang dijalankan persatuan itu mendapati kira-kira tiga hektar pokok bakau di kawasan antara Kuala Sungai Pinang dan Kuala Sungai Bharu telah mati.
Beliau memberi amaran bahawa beberapa hektar lagi boleh terjejas dan musnah jika punca masalah itu tidak ditangani segera.
Mohideen berkata, CAP telah dimaklumkan oleh Jabatan Perhutanan Pulau Pinang bahawa pokok bakau yang mati itu, spesies api-api (Avicennia), berkemungkinan disebabkan oleh pembuangan sisa dari kolam ternakan udang berhampiran.
“CAP berasa kecewa kerana walaupun isu ini telah lama wujud, dan aduan telah dibuat kepada pihak berkuasa berkaitan, namun tiada tindakan berkesan diambil untuk menangani masalah tersebut, hingga membawa kepada kemusnahan semakin meluas di kawasan warisan semula jadi ini.
“Memandangkan hutan bakau adalah ekosistem penting untuk pembiakan pelbagai spesies marin, CAP bimbang keadaan ini akan memberi kesan teruk kepada kehidupan ikan di kawasan pantai pada masa akan datang, jika tindakan tegas tidak diambil oleh pihak berkuasa berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, komuniti nelayan setempat telah memberitahu CAP bahawa kadar tangkapan mereka, termasuk ikan, ketam dan udang merosot sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dipercayai akibat pencemaran daripada kumbahan ladang udang dan pemusnahan hutan bakau.
Mohideen berkata mereka juga berdepan masalah ketika membuang pukat di laut akibat gangguan serpihan pokok bakau yang ditebang dibawa arus sehingga mencemarkan perairan.
Beliau menambah bahawa sistem perparitan di sekitar kolam ternakan udang di sini telah tertimbus dan tersumbat oleh sisa.
“Kami menggesa Jabatan Perikanan, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Alam Sekitar, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), dan pejabat daerah barat daya supaya memberi perhatian serius terhadap isu ini dan mengambil tindakan segera untuk menyelesaikannya.
“Kami berharap hasil siasatan dan tindakan yang diambil akan dimaklumkan kepada umum tidak lama lagi,” katanya.
-BTS Media