MENTERI Kerja Raya Alexander Nanta Linggi berkata potongan tol itu akan bermula pada pukul 12.01 tengah malam pada 27 Jan (Isnin) dan akan berakhir pukul 11.59 malam, pada 28 Jan (Selasa) dengan peruntukan bayaran pampasan kepada syarikat konsesi tol yang terlibat dianggar berjumlah RM20.08 juta.
Pengurangan tol 50 peratus itu dipersetujui dalam Mesyuarat Kabinet semalam, dan akan dilaksanakan di semua plaza tol, kecuali di sempadan negara, iaitu di Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).
“Pengumuman saya sebelum ini berkenaan pemberian tol percuma musim perayaan yang sepatutnya berakhir pada perayaan Krismas 2024 adalah berdasarkan keputusan Mesyuarat Kabinet pada 20 Dis 2024”
“Bagaimanapun, Mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini bersetuju memberikan diskaun tol 50 peratus sempena perayaan Tahun Baharu Cina 2025,” kata Alexander Nanta dalam kenyataan semalam.
-BTS Media