BTS Media

Tujuh kucing rentung dibakar pendendam di Baling

Tujuh kucing turut rentung dalam siri kebakaran di Baling disyaki angkara seorang lelaki pendendam yang dikatakan sering dibuli di tempat kerja di sebuah kilang getah.

Pemilik haiwan itu, Adnan Hasan, 40, berkata beliau tinggal sehelai sepinggang walaupun tidak bekerja di kilang getah tersebut, tidak mengenali suspek berusia 23 tahun itu, malah tinggal pula di kampung berasingan.

Beliau yang bekerja sebagai jurutera, berkata rumah pusaka di Kampung Tanah Periuk, Baling, berusia 100 tahun musnah dengan kerugian lebih RM300,000.

“Saya tidak bekerja di kilang getah. Kenapa rumah saya menjadi sasaran?

“Ketika kejadian, saya dan isteri berada di Kuala Perlis kerana mahu ke Langkawi. Selain harta benda, tujuh ekor kucing dalam sangkar juga rentung,” katanya kepada Kosmo di Baling.

Dalam pada itu, isteri Adnan, Nurul Atiqah Shafie, 38, memberitahu kejadian itu berlaku pada 2 pagi, 25 Dis.

“Sebaik sampai di rumah, saya dan suami mendapati tujuh ekor kucing yang diberi nama Citot, Ireng, Owa, Oyo, Mek, Jahe, dan Ginger bergelimpangan dan rentung,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Kedah Fisol Salleh, berkata suspek direman sehingga Sabtu dengan kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

Katanya, modus operandi suspek adalah mencurahkan petrol di atas motosikal lalu membakarnya, sebelum api merebak ke rumah penduduk.

Baca lagi: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2025/01/23/7-kucing-rentung-dibakar-pendendam-di-baling/

Leave a Comment