POLIS hanya boleh melakukan pemeriksaan rambang ke atas telefon bimbit orang ramai jika ada siasatan berterusan atau laporan polis dibuat terhadap individu tersebut, kata Ahli Parlimen DAP Lim Lip Eng.
Beliau berkata demikian selepas Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata polis, berpangkat inspektor atau lebih tinggi, mempunyai kuasa untuk memeriksa telefon seseorang jika terdapat syak atau maklumat bahawa mereka melakukan jenayah.
“Jawapan parlimen bertarikh 28 Julai 2022, jelas menyatakan bahawa polis hanya boleh memeriksa atau merampas telefon bimbit seseorang jika individu itu disyaki terlibat dalam siasatan jenayah yang sedang dijalankan.
“Ini bermakna polis tidak boleh melakukan pemeriksaan terhadap telefon bimbit seseorang secara rambang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini (18 Jan).
Pada 14 Jan, Razarudin berkata polis mempunyai kuasa untuk berbuat demikian di bawah Seksyen 23 (1) Kanun Tatacara Jenayah, bagi memastikan ketiadaan kandungan lucah atau menyinggung serta komunikasi yang mengancam.
Beliau berkata ia juga berdasarkan peruntukan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.
Bagaimanapun, Lawyers for Liberty menolak kenyataan Razarudin, dengan mengatakan tiada satu pun undang-undang yang disebut oleh kedua-duanya memberi kuasa kepada polis untuk berbuat demikian.
“Seksyen ini tidak memberi kuasa kepada polis untuk memeriksa telefon bimbit sesiapa yang mereka suka di sekatan jalan raya atau di tempat lain. Pemeriksaan rutin telefon mudah alih adalah dilarang oleh undang-undang,” penyelaras pertahanan awamnya Yu Ying Ying dilaporkan berkata.
Sehubungan itu, Lim menggesa Razarudin supaya mendidik kakitangannya mengenai syarat-syarat berhubung pemeriksaan telefon bimbit bagi memastikan tiada penyalahgunaan kuasa – termasuk peruntukan di mana hanya anggota berpangkat inspektor atau lebih tinggi boleh berbuat demikian.
Lim berkata pelakuan tidak patuh undang-undang boleh mencemarkan nama baik pasukan itu.
“Bukankah kita semua mahukan pasukan polis yang telus, profesional dan dihormati?” tanya ahli parlimen Kepong itu.
Sebagai penyelesaian, Lim menggesa polis supaya menyebarkan mesej itu menggunakan semua saluran komunikasi, milik kerajaan dan swasta.
“Selain itu, mesej tersebut mesti dipaparkan dengan jelas di platform media sosial rasmi polis.
Beliau juga menyarankan supaya pemakluman berkenaan perkara itu dipaparkan dengan jelas di semua balai polis seluruh negara bagi menyedarkan orang ramai.
-BTS Media