BTS Media

Ahli Parlimen tidak lagi dibenarkan siar ucapan Parlimen secara ‘live’, kata Speaker

Oleh Zainal AS Rashid

AHLI Parlimen tidak lagi dibenarkan membuat ‘live streaming’ ucapan mereka di Parlimen menggunakan peranti sendiri mulai Isnin (16 Okt), kata Speaker Johari Abdul.

Johari memetik Peraturan Mesyuarat 35(1) yang dikatakan menghendaki Ahli Parlimen mengarahkan ucapan mereka kepada Speaker sebagai pengerusi sidang.

Beliau berkata melihat peranti (seperti telefon dan tablet) tidak mematuhi Peraturan Tetap tersebut.

Dengan ini, Ahli Parlimen tidak lagi dibenarkan menggunakan sebarang peranti untuk membuat penstriman video langsung di Dewan,” kata Johari di Parlimen pada Isnin (16 Okt).

“Ucapan Ahli Parlimen boleh ditonton secara langsung melalui akaun YouTube rasmi Parlimen dan saluran media sosial lain. Saya harap Ahli Parlimen akan memberi kerjasama dalam perkara ini,” katanya lagi, lapor The Star.

Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) kemudian bangun dan berkata keputusan Johari tidak logik.

“Kita hidup dalam era media yang canggih, saya rasa Dewan perlu bergerak ke arah itu, dan bukan ke belakang. Saya harap keputusan ini dapat dikaji semula,” kata Kiandee.

Sebagai respons, Johari  berkata sebarang rasa tidak puas hati boleh dibawa ke jawatankuasa Parlimen.

Beliau menasihatkan mereka yang tidak berpuas hati supaya menulis kepada jawatankuasa supaya keputusan dapat ditentukan.

Johari menambah bahawa penstriman langsung (video) boleh diambil daripada siaran RTM dan YouTube ‘Live’.

Selain itu, Johari memberikan alasan bahawa dengan membuat ‘live stream’ dan bercakap kepada penonton, mereka tidak lagi menumpukan perhatian kepada prosiding parlimen.

Beliau mendakwa bahawa ini tidak baik kerana ahli parlimen perlu mengutamakan rakyat.

Kiandee kemudian menggesa Johari supaya mengambil kira semua pandangan.

Beliau berkata adalah terlalu ekstrem membuat keputusan melarang penggunaan peranti ‘live stream’ sewaktu prosiding parlimen.

-BTS Media

Leave a Comment