SEBUAH syarikat pengendali umrah yang didakwa gagal menerbangkan jemaah dikepung oleh beberapa individu dipercayai mangsa sejak malam hari Isnin.
Menerusi video TikTok, kakitangan syarikat berkenaan turut didakwa tidak dibenarkan keluar dari premis tersebut sehingga semua mangsa menerima bayaran balik pakej yang dibayar.
Malah turut kelihatan seorang pekerja wanita dipercayai daripada bahagian kewangan syarikat tersebut rebah akibat serangan panik dan kegelisahan.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kira-kira 300 jemaah terkandas apabila syarikat pengendali umrah yang beribu pejabat di Sepang, Selangor itu menunda tarikh penerbangan pada saat akhir.
Alasan yang diberikan oleh pihak syarikat ialah hotel penginapan telah dibatalkan pihak Arab Saudi.
Seorang jemaah mendakwa, sewaktu dimaklumkan perkara itu barulah terbongkar bahawa tiada tempahan tiket penerbangan untuk mereka.
Malah katanya, status visa dan hotel penginapan juga tidak dapat dipastikan.