PERSATUAN Konservasi Alam Malaysia (PERKAM) menggesa kerajaan negeri Perak memelihara dan melindungi kawasan sebuah kawasan bekas tapak semaian kaya dengan pelbagai spesies tumbuhan semula jadi yang kini hampir pupus.
Tapak bersebelahan dengan Institut Tanah dan Ukur Negara (Instun) di Behrang itu berkeluasan kira-kira 41.96 hektar dan dikenali sebagai ‘Seeds Bank Behrang Ulu’.
Ia menempatkan lebih 1,000 spesies pokok dan akan dibangunkan, lapor NST.
Presiden PERKAM Profesor S. Santharasekaran berkata kawasan yang ditanam pelbagai pokok hutan, kebanyakannya hampir pupus di Malaysia, bersama spesies tumbuhan komersial itu sebelum ini dipajak kepada syarikat swasta untuk tujuan semaian pada tahun 1998.
“Selepas pajakan tamat pada tahun 2018, syarikat itu diminta mengosongkan kawasan tersebut untuk memberi laluan kepada pembangunan perindustrian.
“Malangnya, hanya kira-kira 30 peratus daripada pokok di situ boleh dipindahkan,” katanya ketika ditemui hari ini.
Tambahnya, walaupun sebidang tanah ganti ditawarkan untuk tujuan serupa, ia didapati tidak sesuai.
Santharasekaran berkata, dia mula mengetahui tentang rancangan untuk membangunkan kawasan itu pada bulan September tahun lalu.
Sebelum ini, tapak tersebut merupakan hab aktiviti alam sekitar dan penyelidikan spesies pokok asli.
Menurutnya, kira-kira 1,173 spesies telah dikenal pasti di tapak itu, dengan dianggarkan satu juta pokok pelbagai saiz.
Beliau berkata, tanah hutan itu kini dipenuhi anak pokok hasil cambahan benih pelbagai campuran spesies tumbuhan.
Ladang itu adalah hasil usaha mendiang pemilik asal mengembara ke seluruh negara untuk mengumpul spesies pokok hutan yang hampir pupus.
“Antara pokok yang jarang ditemui termasuk Resak Padi, Meranti Daun Besar, Giam Melukut dan Merawan,” katanya.
Ladang itu kini diuruskan oleh anak perempuannya, yang sedang bergelut untuk memindah dan menempatkan semula spesies pokok.
Santharasekaran menambah bahawa PERKAM telah mencadangkan supaya kawasan itu dijadikan Bank Benih Pokok Hutan Negara.
Beliau juga berkata pihak persatuan telah melakukan segala yang mungkin untuk melindungi ladang hutan tersebut, dan kini menyerahkan kepada pihak berkuasa bertindak menyelamatkan biodiversiti hutan negara.
-BTS Media