BTS Media

Pengeluar ubat AS naikkan harga lebih 250 jenis ubat mulai 1 Jan

PENGELUAR ubat merancang untuk menaikkan harga di Amerika Syarikat bagi sekurang-kurangnya 250 ubat berjenama, termasuk Pfizer Covid-19 Paxlovid, terapi sel kanser Bristol Myers Squibb dan vaksin dari Sanofi Perancis pada awal 2025.

Menurut data analisis oleh firma penyelidikan penjagaan kesihatan 3 Axis Advisors, yang dipetik Reuters, hampir semua kenaikan harga ubat itu adalah di bawah 10%. Kenaikan harga median ubat-ubatan yang dinaikkan pada 1 Jan ialah 4.5%, yang selaras dengan tahap median semua kenaikan harga tahun lepas.

Kenaikan adalah bagi menyelaraskan harga, yang tidak termasuk rebat kepada pengurus manfaat farmasi (PBM) dan diskaun lain.

Kenaikan harga ubat lebih besar pernah berlaku di AS, tetapi dalam beberapa tahun kebelakangan ini, syarikat pengeluar ubat telah menurunkannya semula selepas kenaikan harga dikecam ramai pada pertengahan dekad yang lalu.

“Syarikat pengeluar ubat tidak lagi mempunyai banyak ruang untuk menaikkan harga dari semasa ke semasa, namun demikian mereka boleh mengambil kesempatan melalui harga pelancaran sebagai satu-satunya pilihan dalam menghadapi penalti yang diperluaskan untuk kenaikan harga tahun ke tahun,” kata Antonio Ciaccia Presiden 3 Axis.

Analisis Reuters ke atas harga ubat baharu mendapati bahawa bagi tahun 2023 syarikat farmaseutikal melancarkan ubat pada harga 35% lebih tinggi daripada tahun 2022.

Lebih 250 kenaikan harga ubat adalah peningkatan daripada 29 Disember tahun lepas, apabila pengeluar merancang untuk menaikkan harga untuk lebih daripada 140 jenama ubat.

Syarikat ubat juga mengurangkan beberapa harga ubat pada 1 Januari. Merck & Co merancang untuk mengurangkan harga senarai ubat diabetesnya Januvia dan Janumet yang banyak diberikan diskaun untuk menyelaraskan harga senarai lebih setara dengan harga bersih.

Bagi ubat preskripsi, di AS harganya lebih tinggi berbanding negara lain, dan bakal presiden Donald Trump telah berikrar untuk menurunkan kos ubat dengan memberi tumpuan kepada orang tengah dalam sistem penjagaan kesihatan di negara itu.

Tapi, lebih banyak kenaikan harga ubat mungkin diumumkan oleh pihak pengeluar sepanjang bulan Januari.

Mengikut rekod, setiap bulan Januari sering kali menyaksikan harga dinaikkan oleh pihak pengeluar ubat.

Bagi syarikat Pfizer, dalam senarai terkini lebih daripada 60 jenis ubat dinaikkan harga.

Kenaikan sebanyak 3% bagi Paxlovid, selain ubat migrain Nurtec, ubat kanser Adcetris, Ibrance dan Xeljanz antara 3% dan 5%.

“Pfizer telah melaraskan purata harga senarai ubat dan vaksin untuk 2025 di bawah kadar inflasi keseluruhan – lebih kurang 2.4% bagi banyak produk, “ kata jurucakap Pfizer Amy Rose kepada Reuters melalui e-mel. Beliau berkata kenaikan itu membantu menyokong pelaburan dalam pembangunan ubat dan mengimbangi kos.

“Bristol Myers Squibb (BMS) menaikkan harga terapi sel kansernya yang mahal, iaitu Abecma dan Breyanzi masing-masing sebanyak 6% dan 9%. Rawatan kanser darah itu kini boleh menelan belanja hampir setengah juta dolar.

Jurucakap BMS berkata bahawa mereka “komited untuk mencapai akses pesakit tanpa halangan” kepada ubat-ubatan keluaran syarikat itu. Beliau berkata harga Breyanzi khususnya “mencerminkan rawatan individu yang berpotensi berkesan dengan hanya sekali guna.”

Sanofi pula menaikkan harga bagi sedozen vaksinnya sekitar antara 2.9% dan 9%.

Kenaikan harga jenama terbesar mengikut analisis 3 Axis adalah daripada Leadiant Pharmaceuticals, yang merupakan sebuah anak syarikat Essetifin Itali. Syarikat itu menaikkan harga sekitar 15% bagi rawatan penyakit Hodgkin, Matulane dan lebih kurang 20% bagi Cystaran bagi merawat pesakit mata untuk gejala cystinosis.

-BTS Media

Leave a Comment