BTS Media

Harga ubat dijangka naik 5 peratus kerana ringgit lemah

Oleh Yusoff A. Shariff

HARGA ubat di Malaysia dijangka meningkat 5 peratus dalam beberapa bulan akan datang kerana ringgit terus merosot berbanding dolar AS, lapor Utusan Malaysia hari ini.

Menurut akhbar itu, produk yang paling terjejas adalah ubat untuk batuk, demam dan antibiotik yang kebanyakannya diimport menggunakan dolar AS.

Presiden Persatuan Farmasi Malaysia Amrahi Buang memberitahu akhbar itu bahawa ringgit yang lemah akan menjejaskan keupayaan Malaysia membeli barangan mentah untuk mengeluarkan ubat dan keadaan diburukkan lagi dengan perang berterusan antara Rusia dan Ukraine.

Beliau dipetik berkata bahawa harga ubat bergantung kepada kos bahan farmaseutikal aktif yang diperlukan.

Selain itu, harga bahan asas lain yang diperlukan dalam pembuatan ubat, merupakan satu lagi kos yang perlu dimasukkan dalam harga selain daripada kos logistik.

“Kemudian ditambah lagi penghantaran ubat ke Sabah dan Sarawak dan itu adalah satu lagi kos tambahan,” beliau dipetik berkata.

Amrahi memberitahu akhbar itu bahawa buat masa ini harga ubat stabil, tetapi akan meningkat jika ringgit terus lemah.

Beliau berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Pengguna perlu membuat persediaan dan perancangan.

Dalam pada itu, Bernama melaporkan ringgit naik sedikit kepada 4.6725.

-BTS Media

Leave a Comment