BEKAS perdana menteri Najib Razak diberikan pilihan menggunakan jenis ubat sendiri jika tidak mahu menggunakan ubat yang dibekalkan oleh hospital kerajaan.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata setelah menyemak peraturan Jabatan Penjara beliau dimaklumkan bahawa ia dibenarkan.
Beliau berkata, menurut peraturan penjara jika banduan sanggup membeli bekalan ubat sendiri dan menolak ubat yang dibekalkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), ia dibenarkan.
Khairy memberitahu media di Hospital Pantai Kuala Lumpur bahawa beliau telah memaklumkan perkara ini kepada keluarga Najib bahawa tidak menjadi masalah jika mereka ingin membekalkan ubat jenama tertentu kepadanya.
Beliau mengulas kenyataan peguam Zaid Ibrahim yang menggesa KKM memberikan Najib ubat yang selalu digunakan untuk rawatan penyakit darah tingginya.
Khairy berkata, Najib telah dibekalkan ubatnya sendiri di penjara, justeru tidak timbul isu KKM menafikan hak Najib kerana mengikut prosedur KKM, jika seseorang pesakit keluar dari hospital dia sememangnya dibekalkan ubat.
“Di HKL dibekalkan benda (ubat) yang sama, kalau di penjara guna ubat itu. Itu yang ada pada HKL,” katanya.
Semalam (selasa 13 Sept), Khairy menolak dakwaan bahawa Najib mengalami tekanan darah tinggi akibat pertukaran ubat.
Katanya, Najib diberi ubat generik ketika dimasukkan ke hospital di Hospital Kuala Lumpur, tetapi formulanya sama seperti ubat yang biasa diambil oleh Ahli Parlimen Pekan itu.
Sementara itu, KKM telah memuat naik maklumat menjelas tentang apa sebenarnya ubat generik di Facebook rasminya.
-BTS Media