SEORANG lelaki ditahan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan kes khianat dan kerosakan harta benda menggunakan rantai besi.
Ketua Polis Daerah George Town, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, lelaki berusia 33 tahun itu telah ditahan selepas mangsa, seorang wanita membuat laporan polis bahawa seorang lelaki melemparkan rantai besi pada cermin keretanya.
Kejadian berlaku pada Hari Krismas, 25 Dis, kira-kira pukul 1.48 tengah hari.
Pengadu, seorang wanita berusia 36 tahun, sedang memandu di sepanjang Penang Road apabila dia melihat seorang penunggang motosikal tiba-tiba menghayun rantai besi ke cermin depan keretanya.
Dia tidak pasti dengan apa tujuan lelaki itu berbuat demikian.
Bahagian Siasatan Jenayah menahan suspek berhampiran Jalan Padang Tembak di Air Itam pada hari yang sama.
Lelaki itu, seorang pekerja kilang, didapati negatif dadah tetapi didapati mempunyai dua rekod jenayah lampau.
Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan menyebabkan kerosakan atau kerugian.
Gambar dan video kejadian tersebut tular dalam di media sosial.
-BTS Media