GAMBAR: Durian Hainan/Foto dilesenkan oleh Wikimedia Commons.
DURIAN yang ditanam di China didapati tidak mengandungi beberapa nutrien utama yang sepatutnya ada pada durian.
Menurut satu kajian pemakanan buah tropika di Hainan, saintis China mendapati bahawa, berbanding durian yang ditanam di Asia Tenggara, buah yang ditanam di China menunjukkan profil pemakanan sangat berbeza, lapor SCMP.
Sebagai contoh, Akademi Sains Pertanian Hainan mendapati bahawa jenis Monthong, yang ditanam di China langsung tidak mengandungi antioksidan kuersetin, manakala spesies dari Thailand mengandungi kadar yang tinggi.
Jenis durian Kan Yao bertangkai panjang dari Hainan mempunyai kadar kuersetin pada tahap 520 kali lebih rendah daripada jenis sama yang ditanam di luar negara dan 540,000 kali lebih rendah daripada paras pada jenis durian Monthong Thai.
Kandungan asid gallic, yang merupakan sebatian dengan sifat antioksidan, anti-radang dan antikanser, tidak dikesan dalam Kan Yao, tapi tahap pada durian Monthong adalah “jauh lebih rendah daripada yang dilaporkan sebelum ini”.
Kajian tahun 2008 tentang durian Thai melaporkan 2,072 mikrogram asid gallic setiap 100 gram pada Monthong, 906 kali lebih tinggi daripada 22.85 nanogram setiap gram buah-buahan Cina.
“Perbezaan iklim, kandungan mineral dan nutrien dalam tanah boleh menjejaskan pengumpulan nutrien semasa proses pertumbuhan durian,” kata pengarang utama Zhang Jing di Institut Penyelidikan Sanya Nanfan Akademi Sains Pertanian Hainan.
China ialah negara pengimport terbesar bekalan buah durian global, dengan jumlah import sebanyak 95 peratus.
Pada tahun 2018, negara itu memulakan penanaman durian secara besar-besaran di wilayah Hainan, satu-satunya pulau tropika dengan iklim yang sesuai untuk buah tersebut.
-BTS Media