BTS Media

12 pelajar UMT direman kerana serang rakan sesama pelajar

SERAMAI 12 pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) direman empat hari bagi membantu siasatan kes serangan ke atas seorang pelajar lelaki di kolej kediaman universiti itu, lapor Sinar Harian.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Supt Wan Mohd Zaki Wan Ismail berkata 12 pelajar berusia antara 20 dan 22 tahun itu ditahan pada pukul 6 petang hari Selasa (17 Dis) selepas polis menerima laporan daripada bapa mangsa.

“Polis menerima laporan daripada seorang lelaki dari Melaka yang mendakwa anak lelakinya berusia 20 tahun dipukul oleh beberapa pelajar lelaki di kolej kediaman itu.

“Anak pengadu turut menghantar beberapa gambar menunjukkan kecederaan yang dialami di pelbagai bahagian badan semasa kejadian itu yang berlaku antara pukul 1 pagi dan 5 pagi pada 15 Dis,” katanya pada hari Rabu.

Menurut Supt Wan Mohd Zaki, bapa mangsa yang tinggal di Taman Seri Duyung, Melaka, tiba di Kuala Terengganu pada 16 Dis dan segera membawa anaknya ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan.

Siasatan awal mendapati kesan lebam dan kecederaan dalaman pada badan mangsa berpunca daripada objek tumpul.

“Kecederaan terdapat pada tangan kiri dan kanan, pinggang kanan, dada, perut, dan kaki kanan mangsa,” katanya.

Selain itu, polis merampas senjata yang dipercayai digunakan suspek di kolej kediaman berkenaan.

“Kesemua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pada hari Rabu untuk perintah reman.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

-BTS Media

Leave a Comment