BTS Media

Bekas Ketua Pesuruhjaya SPR persoal tindakan pendakwa raya tarik rayuan kes Zahid

PEGUAM Latheefa Koya mempersoalkan tindakan pihak pendakwaan menarik balik rayuan bagi menyemak semula keputusan melepas dan membebaskan Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi dalam kes rasuah berkaitan Sistem Visa Asing (VLN).

Latheefa berkata ketika dia menjadi ketua Pesuruhjaya SPRM, dia telah mengawasi siasatan yang menyaksikan Ahmad Zahid didakwa atas lebih 40 pertuduhan rasuah berkaitan VLN, yang didakwa dilakukan semasa menjadi menteri dalam negeri.

“Lazimnya saya tidak akan mengulas mengenai kes yang saya telah siasat; tetapi kes ini menarik perhatian tertinggi membabitkan kepentingan negara.

“Saya buat keputusan untuk mengesyorkan kepada peguam negara supaya Zahid didakwa berdasarkan kertas siasatan SPRM dan perbincangan dengan pegawai saya. Setiap sudut dipandang.

“Siasatan dilakukan dengan teliti dan menyeluruh. Saya tidak teragak-agak untuk membuat cadangan itu,” katanya dalam satu kenyataan.

“Justeru, saya terkejut dengan dakwaan wakil Peguam Negara di mahkamah rayuan bahawa terdapat ‘asas undang-undang atau fakta yang kukuh’ untuk menarik balik rayuan itu.

“Berdasarkan keterangan dan mengambil kira penghakiman Mahkamah Tinggi, undang-undang itu sepatutnya dibenarkan untuk berjalan,” tegasnya.

Pada 12 Dis, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan melepas dan membebaskan Ahmad Zahid selepas pihak pendakwaan memaklumkan mereka menarik balik rayuan dalam kes itu.

Dua tahun lalu, Ahmad Zahid dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam atas pertuduhan berkenaan selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Mengulas lanjut, Latheefa berkata undang-undang mesti terpakai sama rata kepada semua individu tanpa mengira kedudukan mereka, seperti yang termaktub di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

“Ini selepas pengguguran 47 kes pecah amanah dan pertuduhan rasuah terhadap Zahid dalam kes (Yayasan) Akalbudi pada September tahun lalu.

“Adakah seorang kerani kerajaan biasa yang didakwa dengan rasuah kecil menerima layanan yang baik daripada Peguam Negara?

“Kesimpulan yang tidak dapat dielakkan ialah di Malaysia kedaulatan undang-undang telah lumpuh.

“Adalah merupakan asas kepada kedaulatan undang-undang bahawa semua rakyat dilayan sama, tanpa mengira status atau kedudukan politik mereka,” katanya sambil meggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan pemimpin kerajaan melaksanakan prinsip tadbir urus yang baik.

Pada September tahun lepas, pendakwa raya memohon menggugurkan 47 pertuduhan rasuah berkaitan Yayasan Akalbudi terhadap Zahid, yang menyaksikan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan timbalan perdana menteri itu atas pertuduhan berkenaan.

Baca lagi: https://m.malaysiakini.com/news/728948

Leave a Comment