BTS Media

Rakyat Syria di Malaysia sambut tumpasnya kerajaan Bashar, dengan solat, tukar bendera kedutaan 

RAKYAT Syria di Malaysia semalam berkumpul di kedutaan Syria untuk meraikan berakhirnya dekad pemerintahan keluarga Assad berikutan peletakan jawatan presiden Bashar al-Assad dan peralihan kuasa.

Video yang dikongsi di platform media sosial X menunjukkan rakyat Syria di luar Kedutaan Syria di Kuala Lumpur menukar bendera Syria dengan bendera puak pemberontak, memijak portrait Bashar Al-Assad.

Bendera puak pemberontak Syria mempunyai tiga jalur mendatar, iaitu hijau, putih dan hitam, dengan tiga bintang merah dalam jalur putih, manakala bendera asal yang digunakan oleh kerajaan keluarga Assad, mempunyai tiga jalur mendatar berwarna merah, putih dan hitam, tetapi dengan dua bintang hijau dalam jalur putih.

Mereka juga dilihat berkongsi makanan dan melakukan solat sunat sebagai kesyukuran atas apa yang dianggap sebagai kebebasan baharu negara itu.

Perkembangan yang sama dilaporkan berlaku di seluruh dunia. Di Syria, mereka membongkar patung Hafez al-Assad, bapa Bashar, yang menubuhkan rejim Parti Baath lebih lima dekad lalu.

Perkembangan bersejarah ini berlaku selepas serangan pantas puak pemberontak, dan kejayaan merampas beberapa bandaraya utama Syria, termasuk Damsyik.

Bashar, yang memerintah Syria sejak tahun 2000, dilaporkan melarikan diri menaiki sebuah pesawat dari negara itu ketika puak pemberontak mula memasuki Damsyik. Pada mulanya pelbagai spekulasi dibuat, termasuk kononnya pesawat tersebut tiba-tiba membuat pusingan U di ruang udara pesisir pantai Syria, dan ada yang mengatakan bahawa is telah ditembak jatuh dan Bashar terbunuh bersama keluarganya.

Namun, lewat semalam Rusia memaklumkan bahawa Bashar telah tiba di Moscow, di mana dia diberikan perlindungan.

Dekad pemerintahan Bashar menyaksikan penindasan ganas terhadap protes pro-demokrasi yang bermula pada tahun 2011, hingga membawa kepada perang saudara.

Konflik itu menyebabkan ratusan ribu rakyat Syria terbunuh dan jutaan orang kehilangan tempat tinggal. Sebilangan kecil rakyat Syria berlindung di Malaysia.

-BTS Media

Leave a Comment