JURI tentera di pusat tahanan Teluk Guantanamo pada Jumaat menjatuhkan hukuman penjara tambahan lima tahun ke atas dua rakyat Malaysia kerana bersubahat dalam serangan bom yang mengorbankan 202 orang di Bali, Indonesia pada 2002.
Juri lima pegawai tentera Amerika Syarikat (AS) itu bersidang untuk memutuskan hukuman untuk tempoh 20 hingga 25 tahun.
Selepas bersidang selama kira-kira dua jam pada Jumaat, mereka memutuskan hukuman penjara 23 tahun, lapor wartawan New York Times di Teluk Guantanamo.
Perjanjian tawar-menawar rayuan yang dicapai dengan kedua-dua mereka sebelum itu telah membantu mengelak perbicaraan yang panjang dan mengurangkan hukuman penjara kepada kira-kira lima tahun daripada 23 tahun yang disyorkan oleh juri.
Mohammed Farik Amin dan Mohammed Nazir Lep boleh dibebaskan menjelang 2029. Kedua-duanya ditahan di Teluk Guantanamo sejak 2003.
Sebelum keputusan juri, waris mangsa pengeboman Bali telah memberi keterangan sepanjang minggu di mahkamah tentera.
Hakim tentera AS Wesley A Braun memutuskan mereka boleh dibebaskan dalam tempoh lima tahun selepas mengurangkan 311 hari daripada hukuman Farik dan 379 hari bagi Nasir berikutan pendakwa terlepas tarikh akhir mahkamah untuk menyerahkan bukti kepada peguam bela ketika menyediakan kes itu.
Kedua-dua lelaki yang kini ditahan di Teluk Guantanamo, mengaku bersalah bersubahat dalam dua siri pengeboman di pulau peranginan Bali dalam langkah tawar-menawar rayuan itu.
Laporan itu memetik peguam Nazir, Brian Bouffard sebagai berkata: “Perjanjian pra perbicaraan mempertimbang kemungkinan penghantaran pulang sebelum hukuman selesai.”
Beliau berkata apabila pulang ke Malaysia, mereka akan menjalani program pemulihan yang dikendalikan kerajaan Malaysia dan pemantauan seumur hidup oleh pihak berkuasa keselamatan negara.
Mereka didakwa bersama warga Indonesia Encep Nurjaman, juga dikenali sebagai Hambali.
Pada Oktober lepas, The New York Times melaporkan Farik dan Nazir telah mencapai persetujuan dengan pendakwa raya untuk tuduhan bersubahat dalam serangan pengganas di Bali, dan dengan itu memisahkan mereka daripada kes Hambali.
Dalam pengakuan bersalah, Farik dan Nazir bersetuju untuk memberi keterangan terhadap Hambali, bekas pemimpin gerakan Jemaah Islamiyah dan merupakan dalang di sebalik pengeboman itu.