BTS Media

Pendakwah Gus Miftah utusan khas presiden Indonesia letak jawatan selepas hina penjual teh ais

DUTA Khas Presiden Indonesia, pendakwah terkemuka Miftah Maulana Habiburrahman, telah meletak jawatan pada semalam (Jumaat 6 Dis).

Tindakan itu diambil susulan video tular dia menghina seorang penjual teh ais bulan lalu.

Melalui satu kenyataan, dia yang lebih dikenali sebagai Gus Miftah berkata, keputusan itu dibuat secara sukarela.

“Ini adalah keputusan yang saya buat dengan penuh kesedaran selepas bermuhasabah diri. Saya telah memutuskan untuk meletakkan jawatan,” katanya di Sleman, Yogyakarta.

Dia dilantik pada 22 Oktober sebagai Utusan Khas Yang Dipertua Keharmonian Agama dan Pembangunan Kemudahan Keagamaan.

Gus Miftah berterima kasih kepada Presiden Prabowo Subianto dan memohon maaf atas perkara itu.

Dalam video tersebut, Gus Miftah telah menghiina seorang penjual tej ais di hadapan peserta semasa satu majlis di Magelang, Jawa Tengah, pada 20 November lalu sehingga mencetuskan kemarahan orang ramai.

Berikutan itu, petisyen di platform dalam talian change.org yang menggesa supaya dia dipecat, memperoleh 318,479 tandatangan.

Gus Miftah kemudian berkunjung ke rumah peniaga berkenaan di Magelang untuk memohon maaf dan mengaku dinasihati Setiausaha Kabinet, Mejar Teddy Indra Wijaya, supaya lebih berhati-hati ketika bercakap di khalayak ramai

Juga, simpati atas apa yang berlaku, beberapa individu tampil membantu penjual teh ais itu dengan menawarkan wang tunai, menaja ziarah umrah, dan membiayai persekolahan dua anaknya.

-BTS Media

Leave a Comment