ATAS: Orang ramai berhimpun di depan parlimen membantah tindakan Presiden Yoon / Gambar: Yonhap
AHLI parlimen Korea Selatan pada hari Rabu menggesa pemecatan Presiden Yoon Suk Yeol selepas beliau mengisytiharkan undang-undang tentera, dan tidak lama kemudian membalikkan langkah itu.
Apa yang berlaku telah mencetuskan krisis politik terbesar sejak beberapa dekad di negara ekonomi keempat terbesar di Asia itu.
Pengisytiharan mengejut pada lewat pada hari Selasa telah mencetuskan pertikaian dengan parlimen yang menolak percubaannya untuk mengharamkan aktiviti politik, menyekat media, selain menyaksikan anggota tentera lengkap bersenjata menyerbu masuk ke dalam bangunan Dewan Negara di Seoul.
Susulan itu, hari ini (4 Dis) gabungan ahli parlimen dari parti pembangkang berkata mereka mencadangkan rang undang-undang untuk memecat Yoon.
“Parlimen harus memberi tumpuan segera untuk menggantung jawatan presiden bagi meluluskan rang undang-undang pemecatan secepat mungkin,” kata Hwang Un-ha, salah seorang ahli parlimen dalam gabungan itu, kepada pemberita.
Susulan itu, pemimpin Milaetonghabdang (Parti Kuasa Rakyat) yang memerintah meminta Menteri Pertahanan Kim Yong-hyun dipecat dan seluruh kabinet meletakkan jawatan.
Semalam, dalam ucapan melalui TV, Yoon memberitahu negara bahawa kononya undang-undang tentera perlu untuk mempertahankan negara itu daripada ancaman negara kuasa nuklear Korea Utara dan puak yang bersekutu dengannya di Korea Selatan.
Ini kononnya demi menjaga dan melindungi perlembagaannya yang bebas, walaupun beliau tidak menyebut sebarang ancaman khusus.
Huru-hara tercetus apabila anggota tentera menyerbu masuk ke bangunan parlimen melalui tingkap, dan mengerakkan helikopter pejuang di ruang udara.
Untuk mempertahankan kedaulatan parlimen, para petugas telah bertindak menggunakan alat pemadam api untuk menyembur ke arah anggota yang menceroboh bangunan tersebut, sementara penunjuk perasaan bergelut dengan polis di luar.
Pihak tentera berkata aktiviti oleh parlimen dan parti politik akan diharamkan, dan media akan diletakkan di bawah kawalan perintah undang-undang tentera.
Namun demikian, beberapa jam selepas pengisytiharan itu dibuat, seramai 190 parlimen sebulat suara meluluskan usul mengarahkan supaya undang-undang tentera ditarik balik.
Berdepan dengan tekanan, Yoon kemudian membatalkan pengisytiharan itu. Tindakan beliau kemudian disambut dengan jeritan dan laungan “Kitai Menang!” di luar bangunan.
Lebih banyak protes diadakan hari ini dengan gabungan pelbagai kesatuan, termasuk kesatuan pekerja merancang mengadakan perhimpunan di Seoul dan berikrar untuk mogok sehingga Yoon meletak jawatan.
Parti Yoon menguasai 108 kerusi dalam dewan 300 ahli negara itu.
Jika Yoon meletak jawatan atau dilucutkan jawatan, Perdana Menteri Han Duck-soo akan mengisi jawatan sebagai ketua negara sehingga pilihan raya baharu diadakan dalam tempoh 60 hari.
-BTS Media