GAMBAR ATAS: AJEONG_JM, CC BY 4.0 <https://creativecommons.org/licenses/by/4.0>, via Wikimedia Commons
Oleh Fetty Rara
Peminat kumpulan K-Pop sensasi Korea Selatan dilaporkan tidak berpuas hati apabila Presiden baharu negara itu , Yoon Suk-yeol cuba menggunakan idola mereka bagi meningkatkan populariti politiknya.
Kemarahan peminat tercetus apabila mengetahui bahawa pasukan perhubungan awam (PR) beliau membayangkan kemungkinan menempah kumpulan tersebut untuk membuat persembahan pada majlis perasmian pelantikan presiden bulan depan.
Setakat Khamis lalu (7 April) media melaporkan terdapat lebih 1,800 komen bantahan pada laman web rasmi jawatankuasa peralihan presiden.
“Tolong jangan mengeksploitasi BTS untuk politik. Mereka tidak wujud untuk meningkatkan populariti anda. Mereka adalah artis global yang mempromosikan budaya Korea,” kata satu komen.
Sementara itu, petisyen dalam talian terhadap pejabat dan kediaman Presiden Korea, Cheongwadae atau Rumah Biru telah memperoleh kira-kira 6,000 tandatangan sejak dilancarkan pada Rabu.
Tidak kurang ramai juga peminat menggunakan platform fandom Weverse untuk menurunkan komen bersamaan hashtag “#NoBTSforInauguration.”
Pasukan PR Yoon berkata mereka masih mempertimbangkan sama ada akan menjemput BTS membuat persembahan, walaupun sebelum itu telah menafikan rancangan tersebut.
Desas-desus penglibatan BTS pertama kali didedahkan semasa wawancara radio pada Selasa dengan pegawai yang bertanggungjawab menguruskan majlis presiden itu pada 10 Mei nanti.
Pihak pengurusan BTS, Bit Hit Music, berkata mereka belum menerima jemputan secara rasmi dari pejabat Yoon untuk persembahan tersebut.
Sebelum ini, bekas presiden, Moon Jae-in yang dilantik pada 2017 tidak mengadakan sebarang majlis umum seperti mana presiden Yoon, tetapi presiden-presiden sebelum beliau dilaporkan pernah berbuat demikian.
Yoon memenangi pilihan raya 9 Mac lalu dengan rekod margin rendah sebanyak 0.7% undi, dalam pertandingan sengit ketika rakyat negara itu semakin kecewa dengan pergolakan politik, ketidaksamaan dan harga sektor perumahan yang melambung tinggi.
Justeru, dengan hanya tinggal sebulan sebelum majlis pelantikan rasmi pasukan Yoon dikatakan semakin bimbang melihat rating populariti beliau begitu rendah.
-BTS Media