BTS Media

Berpuluh ribu berpindah ketika Taufan Hinnamnor landa Korea Selatan

GAMBAR ATAS: Gelombang Tinggi di kawasan pantai Korea Selatan /Foto: Yonhap.

 

Oleh Feste KR

BERPULUH ribu penduduk Korea Selatan dipindahkan ketika Taufan Hinnamnor melanda selatan negara itu pada Selasa (6 Sept).

Menurut pihak berkuasa, taufan yang membawa hujan lebat dan angin kencang itu dijangka berterusan sepanjang hari.

Taufan Hinnamnor yang dilaporkan bergerak ke utara dengan kelajuan kira-kira 52 kilometer sejam, meninggalkan semenanjung Korea kira-kira pukul 7:10 pagi waktu tempatan melalui perairan di luar bandar tenggara Ulsan selepas mendarat di bandar pesisir pantai Geoje, menurut Pentadbiran Meteorologi Korea, lapor agensi berita Yonhap.

Sejumlah 70 kapal di 50 laluan laut ditangguhkan, 251 penerbangan di 12 lapangan terbang di seluruh negara dibatalkan, manakala 354 jadual kereta api digantung hingga keadaan selamat.

Ia dijangka bergerak ke timur laut dan melepasi lebih kurang 400km barat laut Sapporo, Jepun, pada kira-kira tengah malam Selasa, kata agensi itu.

Presiden Yoon Suk-yeol telah mengadakan mesyuarat dan menggesa pihak berkuasa supaya mengambil langkah berjaga-jaga sehingga taufan itu reda sepenuhnya.

Agensi kaji cuaca Korea Selatan berkata, Taufan Hinnamnor telah mengakibatkan hujan lebat, angin kencang dan gelombang sangat tinggi di kawasan pantai.

Sementara itu, jurucakap syarikat Daewoo Shipbuilding & Marine Engineering berkata tiada insiden di limbungan syarikat itu, dan semua kerja pembina kapal dihentikan sementara pada pagi Selasa.

Operasi di syarikat pembina kapal Hyundai Heavy Industries turut dihentikan sementara dan akan disambung semula pada petang Selasa.

Kedua-dua limbungan itu terletak di laluan Taufan Hinnamnor.

-BTS Media

Leave a Comment