BTS Media

Taufan Hinnamnor: Tujuh maut di tempat letak kereta Korea Selatan yang ditenggelami air

TUJUH maut di bandar raya Pohang, Korea Selatan apabila terperangkap di tempat letak kereta bawah tanah semasa banjir akibat Taufan Hinnamnor.

Kesemua mangsa dilaporkan turun untuk mengalihkan kereta mereka, tetapi terperangkap oleh air deras yang masuk ke kawasan parkir.

Pada malam Selasa, pasukan penyelamat terpaksa mengharungi beberapa meter air untuk memasuki ruang parkir bawah tanah yang hampir tenggelam untuk menyelamatkan dua mangsa yang berpaut pada paip siling selama lebih 12 jam, lapor BBC.

Taufan Hinnamnor yang merupakan ribut siklon 2022 paling kuat setakat ini, melanda Korea Selatan pada awal minggu.

Menurut agensi berita Yonhap, kesemua sembilan mangsa adalah penghuni sebuah pangsapuri yang pada pagi Selasa dimaklumkan supaya memindahkan kereta mereka dari parkir bawah tanah.

Mangsa yang terselamat ialah seorang lelaki berusia 30-an dan seorang wanita dalam lingkungan 50-an.

Presiden Yoon Suk-yeol yang melahirkan rasa sedih atas kejadian itu, menyifatkannya sebagai “bencana”.

Beliau telah mengarahkan supaya bandar raya itu diisytiharkan sebagai zon bencana khas.

Bandar raya Pohang mengalami kerosakan paling teruk akibat Taufan Hinnamnor, antaranya sebuah hotel tepi pantai yang runtuh semasa ribut, namun tiada tetamu mengalami kecederaan.

Setakat ini, sekurang-kurangnya 10 orang dilaporkan maut di negara itu.

-BTS Media

Leave a Comment