BTS Media

32 jalan persekutuan, negeri ditutup di Terengganu akibat banjir

SETAKAT pukul 10 pagi hari Khamis (28 Nov) sebanyak 32 jalan persekutuan dan negeri di Terengganu ditutup akibat banjir yang semakin teruk.

Dalam laporannya, Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu memaklumkan bahawa semua jalan ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan kerana dinaiki air sedalam lebih 0.76m.

Penutupan melibatkan 12 jalan di daerah Hulu Terengganu antaranya Jalan Bukit Perah-Kuala Kejir di Kampung Jak dan Kuala Kejir, Jalan Simpang Gaung-Sungai Tong di Kampung Teris, Jalan Utama Bukit Diman-Tersat di Kampung Pengkalan Ajal dan Jalan Aring 8- Kuala Jeneris di Kampung Pasir Dula.

Selain itu, enam jalan ditutup di daerah Setiu termasuk Jalan Chalok di Kampung Lubok Panjang dan Jalan Kampung Bukit di Kampung Bukit. Manakala lima jalan masing-masing ditutup di daerah Kemaman dan Dungun termasuk empat di Besut..

Selain itu, JKR juga berkata lagi 13 jalan, lima di Setiu, Hulu Terengganu (tiga), Besut (dua), dan masing-masing satu di Kemaman, Marang dan Dungun, yang dinaiki air antara 0.35m dan 0.75m, ditutup kepada kenderaan ringan.

Buat masa ini, hanya Jalan Kenyir-Aring di KM87-89 di Hulu Terengganu tenggelam sebahagian.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia telah mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap berbahaya di seluruh negeri Terengganu sehingga hari Jumaat (29 Nov).

-BTS Media

Leave a Comment