BUAT masa ini tiada keputusan sama ada warga emas berumur 65 tahun ke atas perlu menjalani penilaian kecekapan dan kesihatan sebelum memperbaharui lesen memandu mereka, kata Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Aedy Fadly Ramli.
Beliau pada hari Isnin (25 Nov) walaupun terdapat rancangan untuk memperkenalkan syarat tambahan ini, ia di peringkat dasar dalam Kementerian Pengangkutan.
Jelas Aedy Fadly lagi, tiada sebarang perubahan terhadap proses memperbaharui lesen memandu warga emas yang terus tertakluk kepada syarat ditetapkan JPJ.
“Bukan tiada perancangan untuk itu, tetapi buat masa ini, pembaharuan lesen memandu warga emas kekal seperti biasa. Warga emas masih dibenarkan memandu kenderaan tanpa sebarang syarat atau ujian tambahan.
“Bagaimanapun, JPJ dan pihak Kementerian Pengangkutan sedang meneliti perancangan masa depan berhubung isu ini, berdasarkan kajian yang dijalankan kementerian,” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis penutupan program MyLesen 2024 di Teluk Intan.
Beliau berkata demikian apabila ditanya mengenai kebimbangan yang dibangkitkan tentang kemungkinan diwajibkan warga emas berumur 65 tahun ke atas menjalani penilaian kecekapan dan kesihatan untuk memperbaharui lesen memandu mereka.
-BTS Media