GAMBAR ATAS: Facebook Wee Ka Siong.
Oleh Feste KR
JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) telah diarah untuk menangani bilangan calon yang menunggu untuk mendapatkan lesen memandu, kata Wee Ka Siong.
Menteri Pengangkutan itu berkata, kementerian dan JPJ akan melakukan pemantauan di lapangan bagi mendengar pihak berkepentingan dan orang ramai bagi menyelesaikan isu itu.
Sehubungan itu, hari ini (Khamis 18 Ogos), Wee melakukan lawatan ke Institut Memandu Berjaya di Johor Baru pada Khamis (18 Ogos) untuk melihat sendiri keadaan.
Dalam catatan Facebook, beliau berkata sehingga Julai 2022, dalam tempoh tujuh bulan, bilangan pelajar di institut itu hampir menyamai jumlah pelajar bagi tempoh 2018.
Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 42 peratus pelajar yang telah mendaftar tahun ini berbanding 2018.
Sementara itu, bilangan tenaga pengajar di institut tersebut pula telah berkurangan daripada 215 pada 2020 kepada 185 pada 2022.
Menurut beliau, di Johor sahaja terdapat 3,639 orang menunggu untuk mengikuti kelas memandu dan hanya 1,518 tenaga pengajar yang bertauliah.
Beliau berkata, mereka yang merancang untuk mengambil ujian lesen memandu perlu menunggu dua hingga tiga bulan, dan keadaan yang sama berlaku di Lembah Klang.
Pada Rabu (17 Ogos), beliau telah mengarahkan JPJ segera menyelesaikan isu bilangan calon yang tertunggak apabila mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet Kementerian Pengangkutan.
-BTS Media