BTS Media

Dua individu warga emas peserta Larian ‘songsang’ didakwa hari ini

DUA warga asing kes berkelakuan tidak senonoh dan lucah ketika Larian Antarabangsa Pan Asia 2024 yang ditahan pada hari Sabtu lepas akan didakwa di Mahkamah Sesyen di Kota Tinggi hari ini.

Ketua Polis Johor M Kumar berkata kedua-dua lelaki warga emas berusia 66 dan 70 tahun itu bakal dituduh di bawah Seksyen 294 (a) Kanun Keseksaan.

“Kita telah selesai menjalankan siasatan berhubung kes penganjuran program Larian Pan Asia 2024 yang menyentuh sensitiviti agama dengan segelintir peserta berkelakuan tidak senonoh dan lucah di tempat awam di kawasan Desaru, Bandar Penawar di sini baru-baru ini.

“Susulan itu, kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Pendakwaan negeri semalam dan kita menerima arahan untuk pertuduhan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, dilaporkan tiga lelaki termasuk dua warga asing ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian tersebut. Polis telah merampas pakaian serta aksesori mereka ketika larian itu.

Menurut Kumar, semalam pihaknya juga melakukan tangkapan baharu membabitkan dua lelaki, iaitu seorang lelaki warga tempatan berusia 70 tahun yang ditahan pada pukul 6 petang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi.

Beliau berkata, seorang lelaki warga asing berusia 49 tahun ditahan di Desaru, Kota Tinggi di Johor Bahru pada pukul 8 malam.

Pada hari Sabtu lalu, polis menahan tiga lelaki berusia antara 39 tahun hingga 70 tahun di sebuah hotel di Desaru selepas dipercayai berpakaian tidak senonoh dan lucah.

Bagaimanapun seorang lelaki sudah dibebaskan.

Mereka ditahan bagi membantu siasatan kerana dipercayai berkelakuan tidak senonoh dan lucah ketika program larian antarabangsa Pan Asia 2024 di Kota Tinggi.

Tangkapan dilakukan oleh sepasukan polis dari bahagian siasatan jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi di sebuah hotel di Kota Tinggi pada pukul 10 malam kelmarin.

Polis turut merampas pakaian serta aksesori yang dipercayai dipakai ketika larian terbabit.

-BTS Media

Leave a Comment