SEORANG pengawal peribadi Tengku Mahkota Johor didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur kerana mendatangkan kecederaan kepada seorang pemandu e-hailing orang kurang upaya lima bulan lalu.
L/Kpl Muhammad Taufik Ismail mengaku bersalah menyebabkan kecederaan terhadap Ong Ing Keong, 47, di hadapan lobi Hotel St. Regis pada kira-kira pukul 11.40 pagi 28 Mei lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukum penjara sehingga setahun, denda sehingga RM2,000, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Tertuduh yang memakai kemeja-T berkolar hitam dan seluar kuning air, berkata dia memahami pertuduhan dan mengaku bersalah. Peguamnya Ashok Athimulan memohon hukuman ringan atas alasan bahawa ini adalah kesalahan pertama anak guamnya.
L/Kpl Muhammad Taufik, yang kini bertugas di ibu pejabat polis Bukit Aman, telah berkhidmat selama sembilan tahun.
“Tertuduh telah membuat pengakuan bersalah pada peringkat pertama dan ini menjimatkan masa dan kos mahkamah. Pengakuan awal menunjukkan penyesalan dan kekesalannya. Dia memohon maaf kepada mangsa,” kata Ashok.
Peguam itu berkata, mangsa mengalami kecederaan tisu lembut dan tidak cedera parah.
“Tertuduh menjalankan tugasnya sebagai pegawai pengiring dan ini bukan jenayah terancang,” tambah Ashok.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Razali Che Ani berkata kes itu mendapat perhatian meluas daripada orang ramai dan meminta mahkamah menjatuhkan hukuman pencegahan yang boleh dijadikan pengajaran.
Majistret Farah Nabihah Muhammad Dan kemudian menjatuhkan hukuman dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 20 hari sekiranya gagal membayar denda.
Ashok memberitahu pemberita bahawa anak guamnya akan membayar denda hari ini.
Mengikut fakta kes, Ong sedang mengambil penumpang di lobi hotel apabila ternampak sekumpulan lelaki termasuk tertuduh yang berkelakuan seperti pengawal peribadi.
Salah seorang daripada mereka telah menunjukkan kepadanya isyarat tangan supaya dia meninggalkan kawasan itu. Bagaimanapun, mangsa tidak faham kerana dia pekak dan bisu.
Ong kemudian menurunkan cermin tingkap untuk bertanya dalam bahasa isyarat dan dia tiba-tiba ditumbuk muka oleh tertuduh.
Dia meninggalkan tempat itu untuk menurunkan penumpangnya ke destinasi dan seterusnya membuat laporan polis.
Laporan perubatan menyatakan mangsa mengalami bengkak di bahagian kanan muka.
-BTS Media