GAMBAR: Polis & Bomba
TIGA lelaki dan dua wanita terkorban dalam nahas jalan raya membabitkan sebuah lori dan kereta di Gua Musang pada hari Jumaat (25 Okt).
Mangsa yang maut terdiri daripada Mohd Junaizi Jusoh, 48; Shazwani Ismail, 39; Farhana Ismail, 35; dan Muhammad Fakrul Danish Mohd Junaizi, 20 – kesemuanya menaiki Perodua Myvi – serta pemandu lori G Mageswara, 53.
Menurut Ketua Polis Gua Musang Sik Choon Foo, kejadian berlaku kira-kira 11 pagi apabila pemandu lori itu dipercayai hilang kawalan semasa melalui selekoh di Jalan Gua Musang-Lojing, menghala ke Gua Musang.
“Berikutan itu, lori terbabit terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah Perodua Myvi yang menghala ke arah Cameron Highlands, Pahang lalu terjatuh dalam gaung,” katanya, lapor Bernama.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.25 tengah hari dan tiba di lokasi kejadian 15 minit kemudian.
“Kerja-kerja mengeluarkan mangsa tersepit dilakukan menggunakan peralatan khas,” katanya.
Semua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan kemudian dibawa ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat.
Kemalangan disiasat lanjut bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Gua Musang menerusi talian 09-9121222 atau pegawai penyiasat Inspektor Aida di talian 012-4027283.