SIDANG Dewan Rakyat kecoh selepas berlaku pertikaman lidah antara wakil kerajaan dan pembangkang berhubung isu adendum membabitkan seorang tokoh politik.
Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mempersoalkan sama ada proses itu yang dikatakan Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi benar-benar dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.
“Tak mungkin perdana menteri (Anwar Ibrahim) dan menteri dalam dewan tak mengetahui wujud atau tidak adendum ini,” katanya dalam perbahasan Belanjawan 2025
Bagaimanapun RSN Rayer (PH- Jelutong) bangkit dan mengarahkan peraturan dewan dikeluarkan dibawah peruntukan 38 (8) bahawa ahli dewan tidak boleh membahaskan mengenai kelakuan atau sifat Yang di-Pertuan Agong.
Menurut Rayer, Takiyuddin tidak seharusnya mempersoalkan tindakan Agong sambil menambah sebagai seorang peguam beliau seharusnya tahu perkara-perkara seperti itu.
Pertikaman lidah terus berlaku sehingga Timbalan Speaker Alice Lau meminta supaya perkara itu tidak dibahas.
Sementara itu Hamzah Zainuddin (PN-Larut) tampil mempertahankan Takiyuddin dengan mempersoalkan adakah adendum yang disebut Zahid itu dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Itu bukan menuduh Agong tapi itu yang dikatakan.
“Adakah ini salah. Ini adalah untuk beri penjelasan kepada semua termasuk Jelutong supaya Jelutong boleh bangun,” katanya.