BTS Media

TUDM nafi ‘dentuman kuat’ Ipoh ledakan sonik dari pesawat

TENTERA Udara Diraja Malaysia (TUDM) berkata ‘dentuman kuat’ yang kedengaran dan menggegarkan beberapa tempat di Ipoh pada pagi hari Isnin (21 Okt) bukan berpunca daripada letupan sonik jet pejuangnya.

Dalam satu kenyataan pada hari Selasa (22 Okt), TUDM berkata pada waktu itu tiada jet pejuangnya berada di kawasan berkenaan.

“TUDM meminta semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi dan menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan dan mengenal pasti punca sebenar kejadian,” kata kenyataan itu.

Pada hari Isnin, Ketua Polis Perak Azizi Mat Aris berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada pukul 11.06 pagi dan pemeriksaan dengan Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara, Ulu Kinta mendapati tiada latihan berkaitan letupan hari itu.

Sementara itu, Pejabat Tanah dan Galian juga mendapati tiada letupan dilakukan di mana-mana kuari sebelum tengah hari Isnin.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) turut mendapati tiada aktiviti seismik berlaku di daerah Kinta walaupun gempa bumi dilaporkan berlaku di Halmahera, Indonesia, pada pukul 11.24 pagi hari kejadian.

-BTS Media

Leave a Comment