GAMBAR: Anadolu.
SERANGAN udara Israel hari ini ke atas sebuah sekolah tempat perlindungan mangsa serangan Zionis di tengah wilayah Gaza telah mengorbankan sekurang-kurangnya 28 rakyat Palestin, termasuk wanita dan kanak-kanak.
Bagi mengelakkan risiko serangan pengganas Zionis selanjutnya, tiga hospital di bahagian utara wilayah itu diarahkan supaya berpindah bagi menyelamatkan pesakit, kata pihak berkuasa.
Menurut Reuters, serangan yang turut menyebabkan banyak kecederaan, berlaku di bandar Deir Al-Balah, di mana lebih sejuta orang berlindung selepas melarikan diri dari pengeboman dahsyat di Semenanjung Gaza.
Tentera Israel memberi alasan bahawa mereka melakukan “serangan tepat ke atas pejuang Hamas”, yang kononnya menyembunyikan pusat kawalan di bawah sekolah yang disasarkan itu, lapor Middle East Monitor.
Pegawai perubatan Gaza berkata 54 warga Palestin cedera dalam serangan itu. Video yang tersebar di media sosial menunjukkan keadaan ngeri mayat-mayat, yang kebanyakan tidak dapat dikenal pasti.
Di utara kawasan, tentera Israel meneruskan serangan yang bermula sejak enam hari lalu.
Mereka bermula di Jabalia, iaitu lokasi kem pelarian terbesar di Gaza dan bandar berdekatan Beit Hanoun dan Beit Lahiya.
Pegawai Palestin berkata sekurang-kurangnya 130 orang telah terbunuh setakat ini dalam operasi itu.
Israel, sebelum ini telah memberitahu penduduk supaya meninggalkan kawasan berkenaan di mana PBB menganggarkan lebih 400,000 orang terperangkap. Bagaimanapun, mereka yang mengikuti arahan berpindah telah ditembak oleh dron tentera Israel dari udara, manakala penembak tepat Zionis (sniper) pula membantu menyasarkan mangsa di darat.
Pegawai kesihatan berkata tentera Israel semalam memberi pesakit dan kakitangan perubatan tempoh 24 jam untuk meninggalkan Hospital Indonesia, Al-Awda dan Kamal Adwan atau dibunuh seperti yang berlaku sebelum ini di Hospital Al Shifa di Bandar Gaza.
Pengarah Hospital Kamal Adwan, Hussam Abu Safiya, yang membuat rayuan melalui video kepada media berkata, lapan pesakit kanak-kanak di Unit Rawatan Rapi (ICU) berdepan risiko jika dipindahkan. Kesemua mereka mengalami kecederaan serius di seluruh badan dan otak akibat serangan tentera Zionis.
-BTS Media