SILING gaji yang diinsuranskan oleh Perkeso untuk pekerja dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM6,000 berkuat kuasa hari Selasa (1 Okt).
Dalam catatan di Instagram, Perkeso berkata mulai hari ini, semua pekerja yang diambil bekerja di bawah kontrak perkhidmatan atau perantisan mesti berdaftar dan mencarum kepada Perkeso, tertakluk kepada had siling berdasarkan gaji pekerja sebanyak RM6,000 sebulan.
Ini berikutan pindaan yang dibuat kepada Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017.
Pada bulan Februari, Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata kementerian akan membentangkan pindaan kepada dua Akta tersebut untuk menaikkan siling gaji diinsuranskan Perkeso daripada RM5,000 kepada RM6,000.
Pindaan itu diluluskan oleh Parlimen pada bulan Julai.
-BTS Media