PENYANYI Datuk Khadijah Ibrahim, 64, terlibat dalam kemalangan kenderaan di Jalan Kinamas di Beaufort, Sabah semalam (30 Sept), lapor Bernama.
Jurucakap pusat operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah berkata kenderaan pacuan empat roda Khadijah itu dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) hingga menyebabkan lima mangsa cedera, termasuk penyanyi itu, yang berjaya keluar sendiri dari kenderaan.
“Dua mangsa dalam MPV dan tiga mangsa dari kenderaan pacuan empat roda dihantar ke hospital oleh orang ramai untuk rawatan.
“Pasukan bomba hanya mengambil maklumat dan memastikan tiada bentuk bahaya lain di lokasi kejadian,” katanya sambil menambah 10 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Beaufort tiba di lokasi nahas pada pukul 5.34 petang dan operasi tamat pada pukul 6.10 petang.
Ketika dihubungi mStar, Khadijah berkata dia tidak mengalami kecederaan serius.
“Saya OK, tiada apa-apa yang serius. Cuma sedikit sakit di kepala, bahu dan leher,” katanya.
Khadijah berkata dia akan pergi ke hospital lewat hari ini (1 Okt) untuk mendapatkan X-ray dan pemeriksaan lain.
-BTS Media