GAMBAR ATAS: Harian Metro.
USTAZ Ebit Liew akan mula dibicarakan esok hingga 30 Sept di Mahkamah Majistret Tenom, Sabah atas pertuduhan gangguan seksual.
Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew, 37, berdepan 11 pertuduhan, termasuk didakwa mengaibkan kehormatan seorang wanita berusia 41 tahun melalui penghantaran perkataan lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun tahun lepas, lapor Bernama.
Dia dituduh mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika didapati bersalah.
Kes akan didengar di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani, manakala pendakwaan akan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Azreen Yas Mohammad Ramli dan Adibah Saiful Bahari.
Ebit akan diwakili oleh peguam Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki, Timothy Daut, Kimberly Ye Wanchuin dan Chen Wen Jye.
Pada Februari lepas, Lew mengaku tidak bersalah atas 11 pertuduhan berkaitan gangguan seksual dan dibebaskan dengan jaminan RM1,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin.
-BTS Media