BTS Media

Global Ikhwan nafi penghuni rumah amal diajar meliwat, diliwat

PETALING JAYA: Global Ikhwan Services & Business Holdings (GISBH) menafikan dakwaan penghuni rumah amal kendalian syarikat itu menjadi mangsa liwat penjaga dan dipaksa meliwat penghuni kanak-kanak lain.
 
Syarikat itu dalam satu kenyataan berkata dakwaan itu merupakan tuduhan berat untuk menimbulkan prasangka, fitnah dan berniat jahat sekali gus mewujudkan persepsi negatif terhadap GISB.

“Kami menafikan segala tuduhan tersebut kerana rumah amal yang dinyatakan itu jelas bukan di bawah kendalian GISBH.

Laporan polis juga akan dibuat agar siasatan dilakukan dan pihak terbabit dibawa ke muka pengadilan, katanya dalam satu kenyataan.

Menurut kenyataan itu lagi, GISBH juga yakin wujud pihak tertentu yang mempunyai agenda tersembunyi bagi menjatuhkan imej dan perniagaan syarikat itu.

Kami tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang ke atas mana-mana pihak yang sengaja berniat jahat untuk mencemarkan nama baik GISBH, katanya.

Semalam, polis menyerbu 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan, dan berjaya menyelamatkan 402 kanak-kanak berusia setahun hingga 17 tahun dipercayai mangsa eksploitasi.

Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, berkata rumah amal terbabit menggunakan sentimen agama dan kanak-kanak untuk menagih simpati serta sumbangan orang ramai.

Mangsa diselamatkan dalam serbuan bermula 6 hingga 11 pagi itu dikatakan diajar meliwat, diliwat penjaga dan dipaksa meliwat penghuni kanak-kanak lain.

Kenyataan itu diperoleh hasil siasatan terhadap mangsa.

Serbuan Op Global itu dijalankan Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Kimia.

Seramai 171 individu membabitkan penjaga, ustaz dan pengerusi rumah amal terbabit ditahan yang terdiri 66 lelaki dan 105 wanita.

Siasatan kes itu setakat ini menjurus kepada kesalahan bawah Akta Kanak-kanak 2001, Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, Kanun Keseksaan (574) dan undang-undang lain yang berkuat kuasa.

Baca lagi: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2024/09/12/global-ikhwan-nafi-penghuni-rumah-amal-diajar-meliwat-diliwat/

Leave a Comment