ADUN Sungai Kandis Wan Dzhanurin Ahmad dari Bersatu menafikan dakwaan tular mengatakan dirinya menyokong pentadbiran Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, mengikut jejak Adun Selat Klang Abdul Rashid Asari.
Wakil rakyat penggal pertama itu berkata beliau tidak pernah berhasrat meninggalkan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).
“Saya masih teguh sebagai wakil rakyat PN serta akan terus bersuara dan mempertahankan mandat rakyat.
“Dakwaan saya menyokong kepimpinan menteri besar Selangor adalah tidak benar dan saya nafi sekeras-kerasnya,” katanya dalam kenyataan.
Hari ini, Rashid menyatakan sokongan kepada Amirudin namun kekal sebagai ahli Bersatu.
Beliau menjelaskan tindakan itu selepas meneliti perkembangan terkini terutama PN berdiam diri terhadap tohmahan terhadap raja-raja Melayu.
Bekas ketua Bersatu Selangor itu juga yakin keputusannya akan memanfaatkan penduduk Selat Klang menerusi pembentukan kerajaan stabil.
Selain Rashid, ada laporan media mendakwa Wan Dzahanurin serta empat lagi Adun Bersatu akan mengalih sokongan iaitu Harrison Hassan (Jeram), Muhammad Muhaimin Harith Abdullah Sani (Batang Kali), Jamil Salleh (Dengkil) dan Rosnizan Ahmad (Morib).
Bagaimanapun, Ketua Bersatu Selangor Azmin Ali menafikan perkara itu.